UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar 8A SPM, handikap golf negatif 2 pilih UUM sambung belajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Hariz Muhammad Hezri, 18, telah memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi untuk sesi kemasukan 2023/2024 pada 10 Oktober ini.

Anak kelahiran Kedah yang memperoleh keputusan 8A 1B itu bakal mengikuti Program Perantara Kecemerlangan Sukan UUM (PPKSUUM) di Akademik Golf Nasional UUM (AGNUUM) bagi Sesi Akademik 2023/2024 selama setahun sebelum ditempatkan di akademi tersebut.

Muhammad Hariz.

Muhammad Hariz merupakan pelajar terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani dan juga atlet sukan golf yang pernah mewakili negara ke 2023 ASIA Pacific Amateur Championship Academy di Amata Spring Thailand.

Anak lelaki tunggal tiga beradik dengan handikap semasa negatif 2 ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana terpilih melanjutkan pengajian di UUM.

“Alhamdulilah, akhirnya impian tercapai dan saya dapat teruskan kerjaya golf sambil melanjutkan pelajaran di universiti ini.

“Saya mula berkecimpung dalam sukan golf ini setelah diperkenalkan oleh arwah datuk dan ia disokong ibu bapa serta ahli keluarga,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, semalam.

AGNUUM akan menerima 11 pelajar lepasan SPM untuk mengikuti PPKSUUM selama setahun sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang kebanyakan berhandikap di antara sifar hingga 9.

Dr. Mohd Foad mengucapkan ribuan terima kasih dan berasa amat bertuah bagi pihak universiti kerana Muhammaf Hariz memilih UUM sebagai destinasi untuk melanjutkan pelajaran dan dalam masa yang sama mengembangkan potensi serta bakat dalam bidang golf.

“Kehadiran beliau ke UUM pastinya memberikan satu kekuatan dan kebaikan kepada AGN untuk kita gilapkan lagi untuk menjadi pemain golf bukan sahaja mencipta sejarah di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

“Meskipun Muhammad Hariz mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang golf ini, saya yakin kita juga akan membantu dan membimbingnya dalam sistem tutor yang ada serta akan pastikan Muhammad Hariz turut cemerlang dalam akademik,” ujarnya.

Dr. Mohd Foad berkata, UUM akan meletakkan Muhammad Hariz sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sukan golf seperti atlet lain.

Sementara itu, Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman yang turut hadir dalam perjumpaan itu berkata, pihak akademi sentiasa mencari dan mempelawa pelajar lepasan SPM yang cemerlang dalam golf dan akademik untuk menyambung pengajian di universiti ini.

“Kelebihan UUM adalah universiti yang mempunyai padang golf 18 lubang yang sangat cantik dan akademi golf yang lengkap dengan peralatan moden untuk membolehkan atlet itu menggilapkan lagi bakat berkenaan.

“Saya yakin boleh mengetengahkan pelajar berkenaan untuk memasuki beberapa pertandingan golf di peringkat nasional dan antarabangsa untuk menaikkan nama Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. – Noorhanani Atirah Suhaime