UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar AGNUUM juara Kejohanan Golf BDB Masters 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar AGNUUM/UUM Today

JITRA: Pelajar dari Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM), Irfan Syahmi Norshaharudin muncul juara Kejohanan BDB Masters 2023 di Darulaman Golf And Country Club pada Ahad lalu.

Irfan Syahmi, 24, merekodkan 223 pukulan keseluruhan untuk membawa pulang hadiah utama bernilai RM2,500 berserta trofi dan piala pusingan sekali gus bergelar juara keseluruhan.

Irfan Syahmi Norshaharudin.

Menurut Irfan, dia bersyukur apabila impian untuk bergelar juara tercapai walaupun kejohanan yang berlangsung sejak Jumaat lalu itu disertai ramai pemain berpengalaman.

“Mereka hebat dan mempamerkan aksi yang sangat baik terutama pada hari kedua, namun apabila tamat perlawanan ini membuatkan saya berasa lega.

“Kejayaan ini membuatkan saya akan terus berusaha dengan lebih keras dan berharap ia akan membuahkan hasil yang diimpikan yang bukan sahaja sebagai satu kemenangan buat diri malah universiti,” ujar pelajar Sarjana Muda Komunikasi itu.

Turut beraksi dalam kejohanan itu ialah pelajar AGNUUM iaitu Muhammad Muadz Mohd Nadzir, Muhammad Kall Danish Mohd Haikal, Muhammad Emmer Isfahan Hanafiah dan Muhammad Azren Noor Azam yang berada di tangga kelima ke bawah bagi kategori sama.

Sementara itu, Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman melahirkan rasa syukur atas kemenangan yang dicapai Irfan itu.

Menurutnya, kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan semua pihak di UUM kepada AGNUUM bukan sahaja melahirkan atlet golf, tetapi mengharumkan nama UUM dalam arena sukan golf ini. – Mohamad Adzwan Mohamad Akhir