UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar antarabangsa berbakti kepada alam

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Oleh: Mohd Azri Abdul Aziz  

Langkawi – Menyedari kawasan pantai dan sungai di Pulau Langkawi yang semakin terhakis, Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) berkolaborasi bersama pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)   menganjurkan program menanam pokok bakau di tebing sungai di Langkawi UNESCO Global Geopark.

Usaha murni ini dapat mengurangkan hakisan sungai akibat ombak dan fenomena air pasang besar sekali gus dapat mengurangkan banjir serta risiko runtuhan tebing sungai.

Ketibaan 40 delegasi UUM terdiri daripada staf Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) bersama pelajar mobiliti inbound semester A231, pelajar antarabangsa sepenuh masa, perwakilan UUM Global Buddies Club, perwakilan UUM International Student Society (ISS) serta staf pelawat dari West University of Timișoara, Romania.  

Penolong Eksekutif (Geopark), Seksyen Geopark dan Kelestarian, Bahagian Pelancongan, LADA, Zafinas Azahani Moktar menyampaikan taklimat mengenai Langkawi UNESCO Global Geopark dan usaha pihak LADA untuk mengekalkan kelestarian kawasan tersebut.

Beliau berkata, Langkawi UNESCO Global Geopark merupakan antara 177 Geoparks yang terdapat di 46 buah negara.

“Status UNESCO Global Geopark ini telah diperolehi sejak tahun 2007 lagi dan pada ketika itu, Pulau Langkawi merupakan yang pertama di dalam rantau Asia Tenggara yang dikurniakan dengan status tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk yang mengetuai delegasi berkata, program khidmat masyarakat yang dijalankan oleh CIAC pada setiap semester bersama para pelajar mobiliti dan antarabangsa ini memberi pendedahan mengenai budaya tempatan dan pengalaman unik kepada mereka untuk dibawa pulang ke universiti asal.

Katanya, program University Social Responsibility (USR) turut disokong oleh the Malaysian Association of Risk and Insurance Management (MARIM).

“Sebagai tanda penghargaan kepada pihak LADA dan MARIM, UUM telah meletakkan label yang mempunyai logo UUM, LADA dan MARIM pada setiap pokok bakau yang ditanam,” ujarnya.

CIAC turut mengadakan aktiviti membersihkan Pantai Chenang sebagai pengisian bermanfaat di samping memupuk sikap bertanggungjawab kepada alam sekitar.

Cojan Margareta-Luisa yang merupakan staf pelawat dari West University of Timișoara, Romania teruja dapat bersama-sama menimba pengalaman menanam pokok bakau selain didedahkan mengenai cara-cara menyemai pokok tersebut.

“Ini merupakan pengalaman pertama dan unik buat kami sedikit sebanyak dapat memelihara ekosistem habitat paya bakau di sini,” katanya.

Manakala Pelajar Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Sadio Abdiwali Mohamed berkata, usaha ini dapat memelihara Pantai Chenang yang merupakan antara tempat tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

“Aktiviti seperti ini juga dapat melapangkan minda saya dan memberikan ketenangan sambil menghirup udara segar terutama di musim peperiksaan yang hampir tiba tidak lama lagi,” katanya yang berasal dari Somalia.  

Dengan penglibatan pelajar antarabangsa, ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara mereka dan masyarakat tempatan malah mencipta impak positif dalam menjaga kebersihan pantai yang merupakan aset berharga Pulau Langkawi.