UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar Asasi UUM literasi digital

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

KUALA LUMPUR: Dalam kemajuan teknologi yang kian rancak, literasi digital perlu dipertingkatkan dalam kalangan mahasiswa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara.

Menyedari hakikat ini, CelcomDigi Berhad dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan CelcomDigi Siswapreneur Bootcamp 2023, baru-baru ini dengan melibatkan penyertaan pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Turut serta, tujuh pelajar Program Asasi Pengurusan (PAP) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berpeluang mengikuti program berimpak tinggi ini di Residensi UTMKL, manakala 88 pelajar lagi mengikuti program tersebut menerusi siaran langsung di Youtube.

Peserta, Shahrull Irfan bersyukur diberi peluang oleh PAP untuk mengikuti program ini dan belajar dengan lebih mendalam tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan kreatif.

“Pelaksanaan program ini bersesuaian dengan hasrat Pengarah PAP, Prof. Dr. Fuad Othman yang menyokong program seumpama ini untuk menjamin kemenjadian murid yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran untuk menjadi usahawan.

“Sekarang, pelajar perlu merebut peluang untuk meningkatkan kemahiran IT, terutamanya dalam penggunaan aplikasi AI sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan yang dinamik dan berpeluang membina lebih banyak pasaran pekerjaan di masa hadapan”, ujarnya yang turut menerima Anugerah Kreativiti dalam Sosial Media Terbaik dalam program tersebut.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Anis Afiqah Fazlee turut teruja dengan pengetahuan baharu yang diterima berkaitan AI sepanjang mengikuti ‘bootcamp’ tersebut.

Menurutnya, program itu membantu meluaskan lagi pengetahuan saya tentang pengurusan perniagaan dalam talian dan penggunaan teknologi untuk meningkatkan jualan melalui internet.

“Ilmu dan kemahiran ini bukan sahaja dapat dipraktikkan dalam dunia keusahawanan, malah dapat diaplikasikan dalam pendidikan dan dunia korporat kelak”, katanya.

Program dengan kerjasama Google itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman di mana dalam ucapan beliau menekankan bahawa KPT komited dalam menerajui transformasi dunia pendidikan ke arah pembangunan modal insan dan berharap agar lebih banyak program seumpama ini dilaksanakan.

Sementara itu, Ketua  Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi Berhad, Joachim Rajaram dalam ucapannya turut menekankan tentang kepentingan kerjasama antara pengamal industri teknologi bersama KPT untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan celik digital dalam kalangan mahasiswa.

Antara pengisian sepanjang program ialah bengkel ‘Zero Cost Marketing’, ‘Be Content Creator’, ‘Unlocking the Power of AI in Content’, ‘Establishing Your Online Presence’ dan diakhiri dengan sesi forum bertajuk ‘The Advancement of AI Technology in Industrial World‘ bersama Ketua Inovasi CelcomDigi, Datin Dr. Masdiana Sulaiman; Pengasas FitriShukriDigital, Mohammad Fitri Shukri dan Prof. Madya Ir. Dr. Lim Meng Hee, ‘AI Application Engineer & Researcher‘ di Universiti Teknologi Malaysia.

Turut serta dalam program tersebut ialah Guru Bahasa Pusat Asasi Pengurusan, Abdul Halim Ayob dan Mohammad Fithri Hamzah daripada Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI). – Muhammad Shahrull Irfan Md Shukri