Gambar Humaira Ishamudin/UUM Today
SINTOK: Bagi menyemai rasa cinta negara dan semangat patriotisme, EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan UUM Sesi 2023/2024 telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-66.
Presiden Persatuan Pelajar Asasi Sesi 2023/2024, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, sempena sambutan bulan kebangsaan ini, pelbagai aktiviti telah diadakan sebagai satu usaha untuk menghargai pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan dan memahami erti kemerdekaan.
Bertema ‘Malaysia Madani:Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, Syahmi Iman berharap matlamat untuk membina satu komuniti pelajar yang bersatu padu dalam menyokong visi dan misi Pusat Asasi Pengurusan akan menjadi realiti.
Antara program yang dijalankan sempena Program Sambutan Hari Kebangsaan ialah aktiviti gotong-royong ambang kemerdekaan yang melibatkan 40 pelajar dan staf Pusat Asasi Pengurusan (PAP).

Kata Syahmi Iman, program ini bertujuan untuk menanam nilai dan sikap kerjasama antara warga PAP serta menunjukkan semangat patriotik. Selain itu, turut diadakan aktiviti kuiz kemerdekaan dan Pertandingan Busana Tradisional.
“Pelajar-pelajar Asasi turut mempamerkan bakat kreatif mereka menerusi Pertandingan Hiasan Kelas Patriotik dan Pertandingan Kelas Patriotik Video Kreatif yang dianjurkan untuk menguji bakat dan kreativiti pelajar dalam menghasilkan hiasan kelas dan video-video mengikut tema yang ditetapkan, seperti ‘Mat Kilau’, ‘Madu 3’ dan ‘Do Re Mi’.
“Tema-tema ini dipilih untuk memupuk sifat cinta akan negara yang mana bergerak ke arah pemodenan. Karya-karya agung ini diberi perhatian sebagai simbolik menghargai jasa-jasa para pejuang dan seniman tanah air,” ujarnya.

Tambahnya lagi, program seperti ini bukan sekadar meraikan kemerdekaan, tetapi juga memupuk rasa bangga dan cinta terhadap negara.
Turut diadakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan dan sesi fotografi bersama staf dan pelajar Pusat Asasi Pengurusan UUM.