UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar B40 SULUNG di kecualikan bayaran yuran pengajian universiti

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK – Seramai 388 pelajar dari pelbagai kaum dan bangsa terdiri daripada golongan keluarga B40 Universiti Utara Malaysia (UUM) dikecualikan membayar yuran pengajian di kampus ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) ini adalah insiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk generasi pertama yang cemerlang di kalangan B40 yang kurang berkemampuan.

“Melalui program ini setiap pelajar akan dibiayai sebanyak RM833 untuk setiap semester yang menjadikannya RM4,998 seorang bagi sepanjang enam semester pengajian mereka nanti,” ujarnya selepas menyampaikan ‘mock card’ kepada 10 pelajar dari universiti ini.

Kesemua mereka yang menerima insiatif ini melibatkan semua bidang pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang terdiri dari 188 pelajar baharu dan 200 orang yang menerima bantuan pinjaman PTPTN serta lain-lain bantuan pinjaman setelah melalui penilaian dan pengesahan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).

Di majlis ini juga anak syarikat UUM iaitu Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) menyerahkan ‘mock cheque’ hasil royalti RM1.5 juta kepada Naib Canselor untuk membiayai program Sulung yang dianjurkan ini.

Manakala Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) melalui Pengarahnya, Dato’ Profesor Dr. Nasrudin Mohammed menyerahkan ‘mock cheque’ berjumlah RM109,000 kepada Naib Canselor dan disaksikan menteri untuk sumbangan kepada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM bagi menganjurkan Program Kepimpinan Inovasi dan Pengkomersialan Harta Intelek (InnoCoL) yang akan memberi pemahaman dalam aspek strategik dan pengoperasian aktiviti inovasi dan pengkomersialan harta intelek universiti.

Sempena lawatan kerja ke kampus ini Dato’ Seri Mohamed Khaled turut merasmikan Pusat Mahasiswa Istimewa atau dikenali sebagai Independent Living Centre (ILC PERMAI) yang dibangunkan di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Mahasiswa Istimewa Kebangsaan (PERMAI) telah dipertanggungjawabkan mengelola salah sebuah ILC yang dinamakan ILC PERMAI UUM dan ianya merupakan satu-satunya ILC yang berada dalam kampus Universiti.

Mengakhiri lawatan ini beliau turut dibawa melawat bilik kuliah ‘Virtual Classroom’, iaitu bilik kuliah yang dilengkapi kemudahan multimedia yang menyokong kepada Program HYFLEX yang dicadangkan oleh KPT.