UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar dan staf asnaf UUM layak terima lebih RM600,000 hasil zakat

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

ALOR SETAR: Sejumlah RM677,456.70 bayaran zakat staf Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dikembalikan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bakal memanfaatkan asnaf yang layak.

Penyerahan wakalah agihan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Fadzil Awang kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria Othman di Dewan Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Menara Zakat, hari ini.

Dr. Mohd Foad berkata, beliau berterima kasih bukan sahaja kepada LZNK atas pengembalian zakat itu, malah kepada semua staf UUM yang telah membuat potongan gaji zakat staf.

Menurutnya, wakalah agihan zakat tersebut kelak akan diagihkan atau dikembalikan kepada asnaf khususnya staf dan pelajar yang berkelayakan.

Dato’ Syeikh Fadzil (tengah) dan Dato’ Syeikh Zakaria (empat, kanan) bersama penyumbang zakat perniagaan dan penerima wakalah agihan balik zakat.

“UUM sentiasa menggalakkan staf untuk membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji pada setiap bulan, malah sebolehnya menambah lagi jumlah potongan zakat ini dari semasa ke semasa mengikut kemampuan,” ujarnya di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Wakalah Agihan Balik Zakat Bersama Syarikat Korporat.

UUM antara tiga institusi yang menerima pemulangan wang zakat menerusi skim wakalah, selain Universiti Teknologi MARA (RM218,070.39) dan Badan Penasihat Syariah Takaful Malaysia (RM93,750).

Sementara itu, Syeikh Zakaria merakamkan penghargaan kepada 13 syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan melibatkan lebih RM3 juta, selain tiga syarikat yang menerima wakalah agihan balik zakat.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang meletakkan kepercayaan kepada LZNK untuk melaksanakan kewajipan mengagihkan zakat di Kedah terutama untuk golongan asnaf yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

“Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar, namun saya yakin dengan kepakaran dimiliki setiap pihak, kita mampu mengurus asnaf di bawah LZNK dengan sebaik mungkin mengikut kerangka dan suasana yang bersesuaian agar golongan tersebut mendapat hak mereka yang sepatutnya.

“Kita ingin mengangkat martabat orang miskin ini melalui kerjasama semua agensi mahupun syarikat dengan berkongsi input untuk pembangunan asnaf di Kedah. Kita mahu Kedah menjadi negeri orang kaya berbakti, miskin berteduh melalui perkongsian rezeki,” katanya.

Untuk rekod, pada 2022 LZNK berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM23 juta dan bagi tahun 2023 (sehingga awal September) sebanyak RM26 juta telah diterima.