UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar didedahkan ilmu kewartawanan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

ALOR SETAR: Kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Hutan Kampong, Alor Setar diberi pendedahan dalam ilmu kewartawanan melalui Bengkel Kewartawanan & Foto yang berlangsung di Dewan Seri Damar.

Bengkel anjuran Unit Komunikasi Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dibuat bagi memberi nilai tambah kepada pelajar melalui pendedahan dalam bidang kewartawanan dan cara membuat laporan berita.

Kursus setengah hari itu dikendalikan dua penceramah UUM berpengalaman iaitu Samsudin Oli, yang memberi ilmu kewartawanan, dan jurugambar Muhammad Shamsul Shafie yang memberi ilmu berkaitan fotografi.

Program yang dibuat bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Kedah itu merupakan pendekatan yang diambil untuk melahirkan generasi yang memahami bidang kewartawanan gelombang baharu, membuat laporan berita dan gambar yang sesuai dengan kehendak media.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin sedang tekun mendengar taklimat. Gambar: Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling kolej, Latiffah Hassan menyambut baik program yang melibatkan pelajar dan guru terlibat dalam pembikinan majalah termasuk editor.

“Sesi ini amat bermanfaat dalam mengasah kemahiran media misalnya cara mengambil gambar, menulis berita, sesi temuramah, membuat kandungan media sosial untuk TikTok, YouTube dan banyak perkara yang boleh dimanfaatkan,” ulasnya.

Selain itu, beliau amat berterima kasih kepada UUM serta semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini.

Muhammad Shamsul Shafie berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan fotografi.

Bagi peserta, Muhammad Danial Akmal Mohammad Salman, kursus ini sangat membantu dalam memberi pendedahan dengan teknik dan cara yang mudah untuk menulis berita dan menyunting gambar dengan menggunakan aplikasi.

“Banyak yang kami pelajari dalam kursus ini tentang teknik menulis berita, prospek kerjaya wartawan sekali gus membolehkan pelajar dapat melihat bidang ini boleh maju ke hadapan pada masa akan datang,” ujarnya. 

Malah beliau teruja kerana didedahkan teknik fotografi dan perkongsian pelbagai tips serta cara untuk merakam dan menyunting gambar menggunakan aplikasi terkini yang pasti memberi nilai tambah dan manfaat yang besar kepada pelajar.

Pengarah, Ts Syamsyul Anuar Ismail (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar.

“Saya telah mendapat banyak ilmu baharu serta teknik-teknik yang belum pernah saya ketahui sebelum ini contohnya semasa slot pertama iaitu fotografi. Sebelum ini saya beranggapan semua foto yang diambil pada waktu malam perlu menggunakan fungsi denyar namun ternyata meleset sama sekali,” kata Muhammad Danial lagi.

Beliau turut berasa teruja menimba ilmu baharu melalui penyertaan dalam bengkel ini dan amat berpuas hati dengan maklumat yang diberi serta berharap lebih banyak program seumpama ini dianjurkan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah, Ts Syamsyul Anuar Ismail yang turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada guru dan pelajar.