UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar PhD terima tajaan Biasiswa Kanada-Asean

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Ku Nurasyiqin Ku Amir terpilih sebagai penerima Biasiswa Kanada-ASEAN dan Pertukaran Pendidikan untuk Pembangunan (SEED) yang berprestij.

Pemilihan Ku Nurasyiqin yang merupakan Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Strategik dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) untuk Biasiswa Kanada-ASEAN menyerlahkan lagi kualiti penyelidikan yang dijalankan di UUM.

“Program yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kanada ini bertujuan memupuk pertukaran pendidikan dan menyumbang kepada usaha pembangunan mapan antara Kanada dan negara anggota ASEAN.

“Biasiswa yang menyediakan pembiayaan sebanyak 10,200 CAD sepanjang tempoh pengajian yang memberi tumpuan kepada pelajar dan penyelidik yang melakukan kajian mengenai bidang pembangunan mapan.

“Biasiswa ini penting bagi membolehkan pembangunan talent (keupayaan) dan pertukaran ilmu pengetahuan antara Kanada dan Malaysia di samping kita boleh mencontohi polisi dan strategi yang sesuai dengan konteks kita,” katanya yang dijangka berlepas ke Kanada pada tahun depan.

Beliau teruja memandangkan University of British Columbia (UBC) merupakan universiti tersohor di Kanada yang menawarkan pelbagai kursus di ‘Center of Political Science and Global Governance’.

“Sepanjang 4 bulan di sana, saya akan melakukan kajian mengenai perbandingan dasar sekuriti makanan antara Malaysia dan Kanada di samping menjadi pembantu penyelidik bagi kajian mengenai pengurusan pelarian, keselamatan siber dan perubahan iklim.

“Saya dipertemukan dengan penyelia dan pensyarah yang amat menyokong dan meraikan idea pelajar. Mereka mengajar saya untuk bekerja secara berkumpulan dan memberikan kebebasan untuk menerokai bidang kajian serta mempunyai peluang keemasan untuk bekerjasama dengan sarjana terbilang dan mengakses sumber bertaraf dunia,” ujarnya.

Ku Nurasyiqin diletakkan di bawah penyeliaan Prof. Paul Evans dan Dr. Kai Ostwald, membuka peluang untuk mendalami kepakaran dalam kajian strategik dan membuat sumbangan bermakna kepada cabaran keselamatan global dan pembangunan mapan.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, saya berpeluang untuk menyertai beberapa kajian lapangan yang membuka mata mengenai isu keselamatan di Malaysia dan peluang ini sangat penting untuk membina pemahaman yang baik mengenai konteks Malaysia,” tambahnya.

Kini, beliau sedang menjalankan tesis PhD mengenai keselamatan makanan dan kedaulatan di Malaysia di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Bakri Mat dan Prof. Dr. Nasrun Mohd Nawi.