UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar SBM UUM cemerlang di AKEPT

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan/UUM Today

NEGERI SEMBILAN: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai johan pameran poster sempena Program UNILEEB Exhibition and Poster Competition yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), baru-baru ini.

UUM diwakili empat pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin yang berjaya mengalahkan 19 peserta lain dari universiti awam dan swasta.

Lam Ci Kin, Azam Amri Aziz Abdullah, Yap Pei Shi dan Adelene Neng Sze Ching mencipta kejayaan dengan membawa pulang piala kejuaraan berserta wang tunai berjumlah RM1,000 untuk kategori Anugerah Projek Terbaik.

Menurut Dr. Jauriyah Shamsuddin, beliau meletakkan keyakinan yang tinggi untuk pertandingan tersebut kerana melihat keupayaan pelajar SBM yang memiliki kemahiran dalam keusahawanan, tambahan mereka juga merupakan ahli Koperasi Keusahawanan Siswa Berhad (KKSB).

“Alhamdulillah, kita (UUM) berjaya mencipta sesuatu yang positif dalam pertandingan ini. Saya memang telah lama yakin dengan kebolehan dan kemahiran pelajar kita.

“Syukur berbaloi segala usaha selama ini. Mudah-mudahan kita akan terus mencatat lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya ketika mengulas kejayaan pelajar SBM dalam pertandingan tersebut.

Unileeb (University Leaders Entrepreneurial Educators Bootcamp) Exhibition and Competition anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan program yang julung kali diadakan sebagai satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasa kompetensi pemimpin universiti yang berminda keusahawanan, kreatif serta berdaya saing ke arah inovasi terpimpin seiring dengan perkembangan teknologi dan persekitaran semasa. – Roslee Mardan