UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelajar SLCP UUM jadi pemangkin pertahan sastera tanah air

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Nurafrina Abdul Aziz/UUM Today

SINTOK: Tarikh 2 Januari telah menjadi pembuka tahun baharu yang produktif apabila program Malam Puisi Mega: Kemanusian dan Perpaduan dianjurkan di Dewan Terbuka Inapan Siswa (Inasis) TNB, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini melibatkan beberapa buah agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) dan Sekretariat Rukun Negara UUM serta pelajar tahun pertama hingga tahun akhir Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM juga tidak melepaskan peluang untuk turut hadir menunjukkan sokongan terhadap program yang dianjurkan oleh Persatuan KERSANI UUM yang merupakan persatuan yang acap kali menganjurkan program-program yang menjulang sastera di UUM.

Dekan SLCP UUM, Prof. Dr. Shukri Ahmad berkata, beliau melafazkan rasa syukur kerana pelajar SLCP UUM telah menjadi pemangkin dalam mempertahankan sastera tanah air.

Beliau juga terharu apabila melihat pelajar yang begitu bersungguh-sungguh dalam menjayakan program ini.

Program ini diteruskan kepada agenda yang dinanti-nantikan iaitu deklamasi puisi yang bertemakan kemanusiaan dan perpaduan. Program dimulakan dengan puisi yang bertajuk “Menuntun Si Merdeka” oleh Awang Sariyan yang dideklamasikan oleh pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Mohd. Idham Mohd. Nadzri yang sekaligus menjadi mukadimah program ini.

Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, merangkap Ketua Unit Sastera DBPWU, Encik E Pian a/l Pro Paul serta beberapa orang wakil dari Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA) dan Sekretariat Rukun Negara UUM turut menunjukkan sokongan terhadap program ini dengan mendeklamasikan puisi-puisi yang telah dipilih.

Puzi Hadi yang merupakan tokoh sastera negeri Kedah dan Presiden SWADAYA juga tidak ketinggalan dalam menyampaikan puisi yang dihasilkannya sendiri. Selain mendeklamasikan puisi, syair, nyanyian lagu rakyat dan monolog yang bertemakan kemanusiaan dan perpaduan juga merupakan antara aktiviti menarik yang dianjurkan.

Persembahan monolog yang disampaikan oleh Manisya Azlin Ishak, pelajar tahun akhir dari program yang sama bertajuk “Darah Al-Quds” telah berjaya menyentuh hati hadirin melalui pemilihan bait-bait monolog yang dilontarkannya yang bertemakan insiden yang sedang berlaku di tanah Palestin.

Penyertaan program ini mendapat sambutan yang luar biasa dan sekali gus telah membuktikan bahawa pelajar di UUM masih mempunyai minat yang mendalam terhadap sastera. Ini dapat dilihat apabila terdapat seramai lebih 30 orang peserta berpusu-pusu merebut peluang untuk mendeklamasikan puisi pilihan mereka.

Pada akhir program ini, nyanyian nazam dan lagu rakyat dipersembahkan oleh pelajar Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif secara beramai-ramai.

Puzi Hadi yang merupakan Presiden SWADAYA dalam temu bual berkata, beliau merasakan program Malam Puisi Mega: Kemanusiaan dan Perpaduan yang dianjurkan merupakan langkah terbaik yang dianjurkan oleh pusat Persatuan KERSANI UUM bagi memastikan sastera tidak terus dilupakan.

Beliau juga meletakkan harapan yang tinggi supaya program berunsurkan sastera akan diadakan dengan lebih kerap lagi di UUM.

Pengerusi Program Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Dr. Phat berkata, tujuan mengapa beliau membawa agensi-agensi sastera pada malam ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara yang betul dalam mendeklamasikan puisi. – Nurafrina Abdul Aziz