Gambar Deevagaran Naidu Baskaran
JAKARTA: Pasukan debat JCI Malaysia yang disertai pelajar Sarjana Muda Undang-undang, Deevagaran Naidu Baskaran telah mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) atas kemenangan bergelar johan Pertandingan JCI Asia Pacific Conference Debate Competition Peringkat Asia Pasifik anjuran Junior Chamber International (JCI).
Menurut Deevagaran, Junior Chambers International merupakan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa untuk golongan muda yang menganjurkan pertandingan tersebut bermula 10 hingga 13 Mei lalu.

“Saya dipilih bersama ahli pasukan yang terdiri daripada ahli JCI seluruh Malaysia setelah kami berjaya menjuarai pertandingan di peringkat Malaysia pada tahun lalu di Kuching, Sarawak.
“Untuk mara ke peringkat akhir pertandingan ini, pasukan Malaysia melalui empat peringkat iaitu kelayakan di mana kami menang menentang Filipina, kemudian di peringkat suku akhir pula berjaya menentang Kemboja.
“Manakala di peringkat separuh akhir, pasukan Malaysia berjaya menewaskan Mongolia sebelum bergelar juara mengalahkan Bangladesh. Saya sangat berterima kasih kepada semua ahli pasukan yang telah berusaha sejak awal hingga ke peringkat akhir ini,” kata pelajar Semester 8 itu.
Selain Deevagaran, dua lagi wakil JCI Malaysia ke pertandingan itu yang merupakan peguam ialah John Ung Soon Hock dan Tan Lik Wei.
Mereka bertiga akan mewakili Asia Pasifik ke peringkat dunia yang akan berlangsung di Zurich, Switzerland pada November depan.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan mengucapkan tahniah atas kejayaan anak muda itu, sekali gus melonjakkan nama UUM di persada antarabangsa.