Gambar SEFB/UUM Today
KANGAR: Seramai 18 pelajar daripada Kelab MyAgrosis di bawah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyumbang bakti di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim, Kangar, Perlis, sempena program ‘Baktisiswa: We Help We Love’ pada 20 Jun lalu.
Pengarah program, Aishah M Azman berkata, program itu bertujuan melahirkan sifat kemasyarakatan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, ‘Baktisiswa: We Help We Love’ telah memupuk hubungan sesama pelajar dan juga masyarakat, selain memberi pendedahan kepada mereka untuk menguruskan program.
“Saya bersyukur program ini berjalan dengan lancar dan berharap agar program ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar dalam menyumbang bakti kepada komuniti luar daripada UUM,” ujar pelajar Semester 2, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaatani.
Antara aktiviti dijalankan adalah gotong-royong membersihkan kawasan rumah anak yatim, menanam pokok dan pemberian sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan bihun.
Turut hadir di program tersebut adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Zalina Zainal dan Penasihat Kelab MyAgrosis, Dr. Nur Adeelah Che Ahmad Tantowi.