Gambar UUMNGA
KUALA LUMPUR: Kemenangan pelajar Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM), Umar Khushairi Mohd Kamal melayakkannya memperoleh status pemain golf profesional Malaysia.
Pencapaian itu setelah beliau mengungguli Kejohanan Kelayakan Jelajah Toyota selepas penentuan 54 lubang di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, di sini, hari ini.
Umar Khushairi berkata, kemenangan itu merupakan satu kejayaan peribadi bermakna kerana melayakkan dia mencapai status pemain golf profesional Malaysia.
“Ini memang impian saya untuk menjadi pemain profesional walaupun dari awal ianya memang bukan satu tugas yang mudah.

“Saya perlu siapkan diri dari aspek fizikal dan mental untuk bersaing dengan pemain lain sehingga berjaya ke tahap ini,” katanya.
Kejohanan selama tiga hari itu menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu berada dalam prestasi gemilang dengan mencatat skor 69, 67 dan 72 untuk menang dengan lapan di bawah-par 208, empat pukulan di hadapan rakan sekelas di AGN, Ikhmal Basry (71-69-72).
Selain Umar Khushairi, Ikhmal Basry turut memperolehi status sebagai pemain golf profesional.