UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pelan Strategik UUM 2023 capai pencapaian cemerlang

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Pelan Strategik UUM 2023 menutup tirai dengan pencapaian yang cemerlang bagi setiap teras strategik.

Sebanyak 142 (84 peratus) petunjuk prestasi (PI) telah menunjukkan pencapaian sasaran, manakala 26 (16 peratus) PI masih memerlukan tumpuan dan perhatian.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan ucapan tahniah di atas kegigihan semua pihak dalam merealisasikan Pelan Strategik UUM Tahun 2023. Walaupun terikat dengan pelbagai komitmen, beliau percaya dan yakin setiap daripada warga UUM telah melakukan yang terbaik bagi memastikan matlamat pelan strategik universiti dapat dicapai.

Beliau turut menyatakan bahawa prestasi yang cemerlang pada tahun 2023 akan dipertingkatkan lagi pada tahun 2024 bagi memastikan enam teras utama mampu mencapai misi UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.

Enam teras tersebut ialah Kecemerlangan Akademik, Kecemerlangan Penyelidikan, Kelestarian Komuniti dan Penglibatan Industri, Kelestarian Kewangan, Kecemerlangan Perkhidmatan, dan Graduan Holistik.

Beliau menekankan perlunya semua Dekan Pusat Pengajian dan Ketua Pusat Tanggungjawab berganding bahu untuk menangani isu-isu penghalang secara konstruktif dan efektif bagi mencapai matlamat tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat, Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, sebelum ini, terdapat 245 PI, berbanding tahun 2023 yang berjumlah 168 PI dengan harapan semua pihak dapat bekerjasama untuk memacu dan mempertingkatkan pencapaian UUM.

Sesi perbincangan antara Dekan Pusat Pengajian dan Ketua Pusat Tanggungjawab berkenaan isu dan cadangan penambahbaikan untuk setiap teras juga diadakan dalam Pembentangan Pencapaian Pelan Strategik Sukuan Keempat 2023 di Bilik Senat, pagi tadi.