UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pemimpin IPT bantu tingkatkan minda keusahawanan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Oleh Nordiana Shafiee
Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

BANDAR BARU ENSTEK, 31 Januari – Bagi membantu membuat pembaharuan terhadap pemikiran pihak pengurusan dan pengamal pendidikan, Program Pemerkasaan ke Arah Pengukuhan Minda dan Kemahiran Keusahawanan Pemimpin Di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diyakini bakal melahirkan ejen pemangkin dan pemacu dalam penjanaan hasil institusi.

Pengarah Akademi Kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon berkata, untuk menjayakan agenda tersebut, program dan projek terancang perlu diadakan hasil kolaborasi dengan pemain industri dan komuniti.

Menurutnya, program ini sangat signifikan mengambil kira sumbangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya kepada agenda keusahawanan IPT di Malaysia.

Beliau turut mengalukan semua peserta untuk terus berkhidmat dengan AKEPT, bukan sahaja sebagai peserta kursus tetapi juga menyumbang buah fikiran dan kepakaran dalam membangunkan modul program atau inisiatif yang bersesuaian dalam usaha memperkasakan bakat dalam sektor pendidikan tinggi.

“Seperti yang disebut Menteri Pendidikan Tinggi bahawa kita kena perluaskan konsep pemimpin kerana ada di antara kita yang berpandangan jika tiada jawatan bukan pemimpin.

“Kehadiran semua peserta hari ini sekali gus menjadikan masing-masing sebagai pemimpin dalam konteks keusahawanan dan saya harap semua dapat perkasakan keusahawanan di institusi masing-masing,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan Utama AKEPT, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM berbesar hati untuk membantu pihak pengurusan dan pengamal pendidikan di institusi pendidikan tinggi membuat pembaharuan terhadap pemikiran dan kemahiran keusahawanan di institusi masing-masing.

Menurutnya, keusahawanan menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan perkapita dan membantu perkembangan ekonomi negara.

Katanya, dalam konteks mikro, keusahawanan berupaya meningkatkan taraf hidup dan mencipta kekayaan, bukan hanya untuk pengusaha tetapi juga untuk perniagaan yang berkaitan.

“Di Malaysia, kerajaan telah melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional pada 2019 di mana dasar ini merupakan manifestasi kesungguhan dan iltizam kerajaan untuk menterjemahkan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030.

“Dasar ini mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara, bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah kesiagaan memperkukuh wibawa untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Pengukuhan aspek keusahawanan dalam sistem pendidikan Malaysia adalah penting untuk melahirkan generasi pelajar yang kreatif, inovatif dan bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui bidang keusahawanan,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, IPT perlu memainkan peranan proaktif dan sentiasa responsif dengan perubahan-perubahan landskap ekonomi dan keusahawanan.

Beliau berharap dengan adanya program seperti ini akan menjadi salah satu platform untuk membantu memperkasakan pemimpin IPT mengenai kepentingan konsep universiti keusahawanan.

Program ini turut menampilkan pengucaptama, Prof. Dato’ Dr. Khairanum Subari daripada di UniKL yang membawa tajuk ‘Pembentukan Pemikiran Progresif dan Inovasi Keusahawanan Pemimpin Madani Institusi Pendidikan Tinggi’.

Dalam ucaptama beliau menyatakan bahawa minda keusahawanan adalah berdaya tahan, bijak dan berorientasikan penyelesaian.

Beliau juga mencadangkan dalam tempoh 20 tahun ini diwujudkan Kelab Billionaire seperti Projek Siswa, Projek Staf dan Projek Industri.

Selain itu, forum bertajuk ‘Melangkah Ke Hadapan: Peranan dan Cabaran Pemimpin Madani di Institusi Pendidikan Tinggi dalam Membentuk Minda Keusahawanan’ dan Bengkel ‘Memupuk Minda dan Sikap Keusahawanan Inovatif Pemimpin Madani di Institusi Pendidikan Tinggi’.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengarah AKEPT, Azrul Izham Hamzah.