UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pendampingan sosial UUM bangun bakat Orang Asli Kensiu

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar IPDM/UUM Today

BALING: Universiti Utara Malaysia menerusi Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) mengambil inisiatif mengadakan pendampingan sosial dengan masyarakat Orang Asli dari etnik Kensiu di Ulu Legong, baru-baru ini.

Etnik Kensiu merupakan kaum Orang Asli dari rumpun bangsa Semang-Negrito yang merupakan kelompok kecil dan tertua di Semenanjung Malaysia.

Suku kaum ini hanya terdapat di Kampung Lubuk Legong yang merupakan satu-satunya perkampungan Orang Asli di negeri Kedah.

Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar berkata, pendampingan sosial ini memberi fokus kepada pembangunan bakat kepimpinan muda di perkampungan tersebut sempena Program Semai Bakti Santuni dan Sayangi OKU bersama Penduduk Orang Asli Etnik Kensiu.

Menurutnya, bersama-sama enam staf IPDM, mereka mengambil pendekatan dengan menyelami perasaan dan menjiwai serta mengunjungi rumah yang terdapat di perkampungan Orang Asli tersebut yang dilihat masih terdapat beberapa rumah yang mengekalkan rumah asal sejak dari dahulu lagi.

“Sudah menjadi impian kami untuk membantu pelajar Orang Asli di kampung ini dalam pembelajaran dan pembangunan bakat kepimpinan komuniti sehingga ke peringkat lebih tinggi dan sekurang-kurang terdapat pelajar Orang Asli ini berjaya pada masa hadapan dan keluar dari kepompong cara hidup masa kini,” ujarnya.

Sepanjang program itu, pelbagai aktiviti dijalankan seperti Simulasi Permainan (Game board) Leads: MY Leadership Skills for Orang Asli diperkenalkan kepada etnik Kensui. Simulasi permainan kepimpinan ini merupakan pendekatan yang efektif untuk melibatkan dan melatih orang muda dalam pengembangan keterampilan bakat kepemimpinan Orang Asli.

Selain itu, IPDM turut menyumbangkan 20 Bakul Kasih Rahmah kepada penduduk Orang Asli Kensiu sempena program tersebut serta penyerahan sumbangan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, miskin tegar, pesakit lumpuh, ahli keluarga ramai dan orang tua sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan.

Sementara itu, Tok Batin Razali Kulim berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan IPDM menyampaikan Bakul Kasih Rahmah kepada penduduk di kampung itu.

Beliau juga memohon agar IPDM dapat membantu pelajar Orang Asli di kampungnya dalam membangunkan bakat kepimpinan Orang Asli, pelajaran dan ilmu pengetahuan dan berharap dengan bantuan pembelajaran ini akan melahirkan anak sulung Orang Asli etnik Kensiu ke peringkat universiti.

Untuk rekod, 97 peratus penduduk Orang Asli adalah beragama Islam dan 3 peratus lagi masih mengamalkan ajaran asal mereka. – Masri Saud