UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pendapatan negara boleh dipertingkatkan dengan pematuhan cukai

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK – Pendapatan negara boleh dipertingkatkan dengan pematuhan cukai dan pelaksanaan insentif cukai oleh kerajaan dengan menggalakkan pelabur-pelabur baru masuk ke negara ini.

“Pematuhan cukai yang ideal dapat dicapai melalui kepercayaan kepada pihak berkuasa (pematuhan sukarela) atau melalui kuasa pihak berkuasa (pematuhan yang dikuatkuasakan), atau kombinasi kedua-duanya kerana percukaian dilihat sebagai alat yang kuat dalam menarik pelaburan di Malaysia melalui pelbagai insentif cukai yang ditawarkan,” kata Profesor Dr Nor Aziah Abd. Manaf.

Beliau berkata demikian sempena Syarahan Pengukuhan Profesor yang bertajuk Kelestarian dan Pertumbuhan Ekonomi Madani Melalui Peningkatan Pematuhan dan Insentif Cukai, di Dewan Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) UUM kelmarin.

Bagaimanapun katanya, pematuhan cukai dan ketelusan dalam pelaksanaan insentif cukai ini adalah kunci untuk memastikan keberkesanan pendekatan ini.

Beliau berharap kerajaan dapat membela nasib rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah, yang bertungkus-lumus membantu pengeluaran negara oleh golongan pesawah, peladang atau pelaut.

Tambahan beliau kerangka cerun licin perlu diberi perhatian terutamanya kepercayaan kepada kerajaan dan ketelusan dalam membuat keputusan sangat perlu untuk menawan hati masyarakat terutama mereka yang berpendapatan tinggi dan sederhana untuk turut menyumbang kepada negara.

Manakala pihak perindustrian atau perniagaan pula boleh turut menyumbang kepada program-program CSR atau lain-lain yang boleh dijadikan ruang kepada negara untuk kembalikan hasilnya kepada rakyat nanti.

Pakar percukaian ini juga berharap masyarakat yang berpendapatan tinggi juga dengan rela hati berkongsikan kekayaan mereka dengan memberikan sumbangan-sumbangan kepada infrastruktur dan pembangunan negara ini supaya hasrat Ekonomi MADANI dapat di capai suatu hari nanti.

Sementara itu Pengerusi Majlis Profesor UUM, Prof Dr Rosna Awang Hashim ketika ditemui berkata, melalui pembentangan tadi pastinya pembayar cukai akan lebih bersemangat untuk membayar cukai dengan hati yang gembira melalui cadangan insentif yang diperkenalkan itu.

“Memandangkan Syarahan Profesor ini mendapat sambutan maka kami akan mengadakan syarahan seperti ini sebulan sekali mulai tahun hadapan,” ujarnya ketika ditemui.

Turut hadir Naib Canselor Prof Dr Mohd Foad Sakdan, Ketua Eksekutif / Naib Canselor Universiti Islam Antarabngsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Prof Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim; Penolong Naib Canselor College of Business yang juga Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Prof Dr Ram Al Jaffri Saad; Pengerusi Majlis Profesor UUM, Prof Dr Rosna Awang Hashim, profesor, pensyarah, pegawai utama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan para pelajar perakaunan.