UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Penerbit antarabangsa, Routledge terbit buku profesor UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Prof. Dr. Mukaramah Harun/UUM Today

SINTOK: Buku hasil penyelidikan profesor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mukaramah Harun bertajuk ‘Public Expenditure and Income Distribution in Malaysia’ telah diterbitkan Routledge dari Taylor & Francis Group yang merupakan penerbit terkenal antarabangsa berpangkalan di United Kingdom.

Buku yang diterbitkan pada tahun ini mengkaji kesan peruntukan perbelanjaan awam dalam mencapai matlamat kesamarataan pendapatan di Malaysia.

Menurut Prof. Dr. Mukaramah, buku yang merupakan karya asli dan berindeks Scopus itu membolehkan beliau menerima insentif sebanyak RM1,000 dari UUM bagi penerbitan buku pada Julai lalu.

‘Public Expenditure and Income Distribution in Malaysia’ mengkaji fungsi institusi dalam pengagihan pendapatan merentasi ejen dan sektor yang berbeza dan menilai kesan dasar perbelanjaan awam dalam mengurangkan jurang perbezaan antara etnik dan luar bandar.

Memandangkan Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam menghapuskan kemiskinan, penulis iaitu Prof. Dr. Mukaramah bersama Sze Ying Loo mencadangkan penekanan terhadap perubahan dalam dasar perbelanjaan awam mungkin perlu dilakukan.

Mereka membentangkan bukti tentang kepentingan perbelanjaan awam dalam menambah baik ketidaksamarataan pendapatan dan menggunakan model Matriks Perakaunan Sosial (SAM) untuk menilai kesan dasar perbelanjaan awam dalam mengurangkan jurang perbezaan antara etnik dan luar bandar.

Sumber maklumat yang komprehensif tentang cara menangani cabaran ketidaksamaan ekonomi di dalam buku ini akan menarik minat ahli ekonomi dan penyelidik mengenai kajian Asia Tenggara.

Buku ini boleh dibeli di laman sesawang Taylor & Francis Group di pautan berikut https://www.routledge.com/Public-Expenditure-and-Income-Distribution-in-Malaysia/Harun-Loo/p/book/9781032298849