SINTOK: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kali pertama menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini disarankan agar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi muda dengan tidak mensia-siakan peluang tersebut.
Pelajar Semester 3, Faeiq Shauqy Kareem Semmard, 21, mengakui perasaan sebagai pengundi buat kali pertama adalah luar biasa memandangkan ia adalah pengalaman baru untuk memilih pemimpin yang layak memerintah.
“Sudah tentu saya tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk memilih pemimpin di kawasan saya di Melaka pada PRU bulan depan.

“Dengan kelepasan selama lima hari yang diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada pelajar universiti untuk pulang mengundi, semestinya akan dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Faeiq Shauqy menasihatkan semua pelajar UUM yang berkelayakan agar keluar mengundi dan tunaikan tanggungjawab itu untuk mengundi, selain bersemangat dalam mencakna berkaitan politik.
“Undilah pemimpin yang bersih dengan ‘track record’ yang cantik. Perbanyakkan kajian dan nilailah tingkah laku dan akhlak mereka sepanjang memimpin kita sebelum ini.
“Anda semua adalah harapan bangsa dan ejen penggerak perubahan negara. Sekiranya hari ini anda tidak mengundi kerana benci akan politik, ini akan menjadi masalah kepada masa depan negara,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perbankan itu.

Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)
Turut akan merasai pengalaman pertama mengundi tahun ini, pelajar Sarjana Muda Keusahawanan Mod 2U2I, Abdul Hakeem Adzra’ai, 22, dari Shah Alam yang akan pulang menaiki kapal terbang pada 17 November depan.
Menurut pelajar Semester 3 itu, sebagai seorang pelajar universiti yang mengimpikan negara dan kerajaan yang stabil dari pelbagai sudut, sudah semestinya perasaan untuk balik mengundi buat kali pertama penuh rasa debaran, selain berkobar-kobar menyimpan beribu harapan untuk anak bangsa.
Katanya, dia berharap sesiapa sahaja yang telah terpilih menjadi pemimpin kelak haruslah menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan seimbang untuk mencerminkan barisan kepimpinan adalah penuh dengan keyakinan.
“Justeru, anak muda juga perlu bijak dalam menilai dan memahami wawasan, visi dan misi yang bakal dicapai oleh negara pada masa akan datang.
“Pesanan saya kepada anak muda, lakukanlah tanggungjawab sebagai anak muda dalam pilihan raya pada kali ini kerana pemimpin yang bakal dipilih akan memegang perihal negara dalam masa yang lama.

“Oleh itu, pilihan yang dibuat haruslah berlandaskan fakta dan reputasi parti politik sebelum ini dalam menuju sebuah gerak kerja di dalam negara dengan penuh integriti dan untuk kelangsungan negara jangka masa panjang terutama sekali demi anak bangsa pada masa hadapan,” katanya.
Dalam kenyataan KPT 22 Oktober lalu telah membuat ketetapan dan meminta supaya semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi bagi PRU-15 dari 17 hingga 21 November.
Ini selaras dengan usaha meraikan semangat pelaksanaan Undi18 seperti yang diwartakan kerajaan pada 1 Disember 2021 dan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 dengan matlamat melahirkan generasi yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.