MELAKA: Kira-kira 800,000 atau 50 peratus dari 1.62 juta penjawat awam di negara ini masih mampu memiliki rumah sendiri ekoran gaji minimum yang ditetapkan disifatkan tidak relevan kini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, faktor unjuran gaji yang terlalu rendah itu menyukarkan kerajaan untuk mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan dan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurutnya, penetapan gaji minimum baharu RM1,800 penting bagi memastikan penjawat awam bukan saja dapat memiliki rumah sendiri, malah mampu menyediakan perbelanjaan pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta makan dan minum untuk keluarga.
Kata beliau, unjuran gaji sedia ada menyebabkan penjawat awam tidak layak untuk membeli rumah, terutamanya di kawasan bandar besar.

“Bagi mereka yang layak pula, rumah dibeli ada yang terbengkalai berpuluh-puluh tahun, manakala ada yang tinggal di bandar besar hanya mampu menyewa bilik.
“Gaji minimum ketika ini bagi lantikan pertama dicampur dengan imbuhan tetap khidmat awam, imbuhan tetap perumahan dan elaun COLA (sara hidup), maknanya baru menghampiri RM1,900. Jauh di bawah pendapatan garis kemiskinan,” katanya selepas Majlis Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Melaka Sesi 2022-2025 di Dewan Hang Tuah, semalam.
Persidangan itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan turut dihadiri Pengerusi CUEPACS Melaka, Norman Taib.
Mengulas lanjut, Adnan menjelaskan walaupun terdapat projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), jumlah unit yang layak dibeli berdasarkan gaji minimum sedia ada masih tidak mencukupi kerana kebanyakan harga rumah terbabit di luar kemampuan penjawat awam.
Selain itu, katanya, isu rumah terbengkalai dalam tempoh yang lama khususnya di Kelantan dan Sarawak menyebabkan penjawat awam terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bulanan bagi membiayai pinjaman perumahan serta sewa rumah.
“Ketika ini, CUEPACS menerima banyak aduan bahawa pinjaman telah diluluskan dan dibayar sepenuhnya oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada pemaju, namun rumah tidak siap dan tidak boleh diduduki. Lebih teruk lagi, terdapat rumah berkenaan yang hanya ada tiang tetapi gaji penjawat awam dipotong setiap bulan.
“Justeru, kita memohon moratorium daripada LPPSA agar penjawat awam tidak dibebani dengan pembiayaan pinjaman perumahan dan sewa rumah,” katanya.
Berdasarkan semakan dengan LPPSA, beliau berkata, terdapat lebih 800,000 peminjam telah pun membuat pinjaman dengan lembaga itu, selain sebahagian lagi telah dapat pinjaman dalam sektor konvensional.
Dalam pada itu menurutnya, Cuepacs turut memohon Bajet 2023 membenarkan moratorium selama dua tahun kepada peminjam sekiranya berdepan isu projek perumahan terbengkalai.
Adnan berkata, isu berkenaan membebankan peminjam yang terpaksa menanggung hutang meskipun belum berjaya mendapat kunci rumah.