UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Penjawat UUM guna media sosial secara berhemah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Foto dan Media/UUM Today

SINTOK: Penjawat di Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar memanfaatkan platform media sosial secara berhemah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, dalam kemodenan dan kemajuan teknologi kini, penggunaan media sosial seperti Whatsapp, Twitter, Instagram dan Facebook menjadi medium penting yang banyak mempengaruhi reaksi masyarakat terhadap dasar-dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

Menurutnya, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran tohmahan dan kritikan rakyat.

Bagaimanapun, kata beliau, ada juga dalam kalangan penjawat awam yang menggunakan media sosial untuk melontarkan sindiran serta kecaman.

“Gunalah media sosial secara bijak untuk pembangunan minda dan nilai-nilai yang baik. Pegawai awam harus memelihara integriti dan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti serta hasil kerja ke arah yang lebih baik.

“Perkara ini hanya akan tercapai sekiranya pegawai awam dapat memberi fokus atau tumpuan sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” ujarnya pada Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) di EDC UUM, petang tadi.

Pada majlis itu, seramai 207 staf UUM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Penjawat Cemerlang (15) dan 51 penerima bagi Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran dan Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ).

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, penilaian bagi menentukan penerima HIMPU ini adalah berdasarkan kepada ketetapan dan kepentingan jenis anugerah.

“Saya percaya, setiap penerima pasti sangat menghargai pengiktirafan yang diberikan kerana nilainya dan secara tidak langsung akan memberi suntikan semangat kepada seluruh warga UUM untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan komited pada masa hadapan.

“Malah, saya juga mengajak semua warga UUM agar sentiasa memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Ini boleh kita lakukan melalui pelaksanaan penambahbaikan yang berterusan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat,” ujar beliau.

Penerima APC, Jamaat Alhaffis Mansor melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima buat kali kedua itu.

Beliau berterima kasih kepada pengurusan universiti dan pengurusan HEPA kerana terus memberi kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat kepada universiti.

Menurut Pegawai Tadbir dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar itu, pertama kali beliau menerima APC adalah pada tahun 2015.

Pada majlis itu juga, buat julung kalinya dua anugerah khas baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Khidmat Bakti (AKB) yang diberikan kepada 25 staf dan Anugerah Taat Setia (ATS) kepada 19 penerima.

Turut hadir ke HIMPU ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti termasuk Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.