UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pensyarah UUM sedia bantu pelajar program MEKAR semak keputusan

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK: Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia membantu pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini untuk  menyemak keputusan ke Universiti Awam (UA) bagi pengajian sesi akademik 2022/2023 bermula 25 September ini.

Pengetua Inapan Siswa (Inasis) MAS/TNB UUM, Dr. Rohani Abdullah berkata, beliau dan warga inasisnya bersedia membantu mereka terutama pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Merbau.

Pengetua Inasis MAS / TNB UUM Dr. Rohani Abdullah.

“Kami telah menerima watikah pelantikan bersama pusat pengajian dan inasis lain untuk menjayakan Program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid di Dewan Mu’adzam Shah, UUM kelmarin.

“Oleh itu kami bersedia untuk membantu pelajar-pelajar dari sekolah yang dipertanggungjawabkan ini,” janjinya.

Manakala Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Prof. Madya Dr. Yahya Don ketika dihubungi berkata, lepasan STPM dari SMK Hosba yang memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan mengenai tawaran yang diterima pada 25 September ini boleh menghubungi pusat pengajian itu sekiranya memerlukan sebarang pertolongan.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Prof. Madya Dr. Yahya Don.

“MEKAR telah dilancarkan dan kini giliran kami untuk merealisasikan hasrat Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah untuk melihat pelaksanaannya,” kata beliau.

Bagi Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Prof. Madya Dr. Yusramizza Md. Isa @ Yusuff pula beliau yakin semua lepasan STPM pastinya berdebar untuk menanti keputusan mereka pada 25 September ini.

Dekan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Prof. Madya Dr. Yusramizza Md. Isa @ Yusuff .

“Semua calon boleh melayari laman sesawang http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.utm.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my dan http /jpt.umt.edu.my nanti selain daripada memuat turun aplikasi UPUPocket yang terdapat di Google Play Store bagi peranti Android dan App Store bagi peranti iOS untuk membuat semakan menggunakan telefon pintar,” ujarnya.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan bertarikh 19 September 2022 telah memaklumkan mengenai keputusan STPM itu termasuk mengesahkan penerimaan atau penolakan tawaran pula yang akan bermula pada 26 September sehingga 4 Oktober ini melalui laman sesawang rasmi UA.