NINGBO, CHINA: Seramai lima pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat sebagai ahli konsortium projek Erasmus SDGs Journalism Reporting Conference dan lawatan akademik selama lima hari di Ningbo, China bersama beberapa universiti daripada benua Eropah dan Asia.
Antara terbabit ialah Universidade de Santiago de Compostela (USC), Sepanyol, Lucian Blaga University of Sibiu (LBUS), Romania dan Novel Group Sarl (NGS), Luxembourg.

Ketua Projek Eramus SDGs Journalism UUM, Prof Dr Huda Ibrahim berkata, persidangan bertema Sustainable Development Goals Journalism dianjurkan oleh Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, University of Nottingham Ningbo China juga menjemput pengucaptama tuan rumah, Prof Xiaoge Xu dari University of Nottingham Ningbo China, Prof Liang Chen dari Tsinghua University dan Prof Peter Berglez dari Orebro University, Sweden.
Universiti di Asia ialah National University of Battambang (NUBB), Cambodia, Royal University of Phnom Penh (RUPP), Cambodia, University of Nottingham Ningbo China (UNNC), China, Shenzhen Polytechnic (SZPT), China dan Universiti Malaya (UM), Malaysia.

Katanya, topik yang dibincangkan dalam persidangan kali ini ialah Rescue SDGs Storytelling The Mobile Way, Environmental Communication in the AI Era dan What is Sustainable Journalism? Theoretical Challenges and Practical Opportunities.

Katanya, persidangan ini memberi ruang dan perbincangan mengenai perkembangan SDG Journalism dan membentangkan perkembangan terkini penyelidikan setiap universiti yang terbabit dalam geran ini.
Beliau berkata, dalam persidangan ini, semua universiti peserta membentangkan perkembangan penyelidikan masing-masing yang membabitkan universiti dari enam negara dari seluruh dunia.

Katanya, perbentangan ini membolehkan ketua projek geran yang berpusat di Sepanyol dapat mengutip data dan menambahkan maklumat penyelidikan dalam aspek penawaran subjek, kualiti, akreditasi, pelaksanaan, penyampaian dan kelestarian projek SDG Journalism.

Beliau berkata, projek Erasmus SDGs Journalism dibiayai oleh European Commission disertai oleh enam universiti yang bekerjasama menghasilkan penyelidikan elemen kewartawanan dalam matlamat pembangunan lestari (SDG).