LANGKAWI : Semua 20 Universiti Awam (UA) dan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta beberapa wakil dari universiti swasta memulakan Mesyuarat Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor / Timbalan Rektor (HEPA) UA kali ke-226 di Langkawi mulai hari ini.
Timbalan Naib Canselor HEPA UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed ketika ditemui berkata, mesyuarat secara berkala semua universiti di bawah TNC ini akan berbincang mengenai isu pelajar dan alumni nanti.
Katanya, mesyuarat juga akan berbincang mengenai isu berbangkit dari masa ke semasa termasuk arahan dan peraturan terkini oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atau kerajaan.
“Mesyuarat sebegini sangat penting kerana inilah platform di mana semua UA dan beberapa universiti swasta yang terpilih akan berbincang berkaitan dengan pelaksanaan dasar- dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dan dilaksanakan pula oleh semua universiti,” ujarnya.
Dalam masa yang sama mereka juga akan berbincang mengenai hal ehwal pelajar yang merangkumi kebajikan, perumahan dan keselamatan pelajar.
Mesyuarat ini juga dilihat akan berjalan lancar dengan kehadiran wakil dari kementerian yang akan memberi pandangan mengenai hala tuju KPT kepada semua universiti.
Dr Ahmad Martadha menambah bagi memastikan perjalanan mesyuarat ini berjalan lancar UUM sebagai tuan rumah dan sekretariat mesyuarat akan berusaha sebaik mungkin agar ianya berjalan lancar dan tersusun seperti yang diharapkan.
“Saya juga mengharapkan doa dari semua warga kampus UUM agar mesyuarat ini akan berjalan lancar seperti yang dirancang,” sambungnya lagi.