UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Prof Haslinda cipta model sayap rama-rama dan PnP berdasarkan kombinatorik

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Seorang pakar Matematik Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mendedahkan kaedah penyelesaian masalah Matematik menggunakan kombinatorik dengan menumpukan perhatian kepada reka bentuk terinspirasi rama-rama dan pembelajaran yang inovatif.

Sayap rama-rama yang mempunyai corak yang rumit dan simetri ini menyimpan corak unik yang boleh digunakan untuk mewujudkan reka bentuk yang memukau secara estetik.

“Melalui penggunaan proses kombinatorik, reka bentuk terinspirasi rama-rama yang meniru simetri dan corak rumit pada sayap rama-rama dapat diformulasikan,” kata Prof. Dr. Haslinda Ibrahim dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS).

Syarahan Pengukuhan Profesor 2023 Profesor Dr. Haslinda Ibrahim bertajuk ‘Nature-Inspired Designs: Unraveling The Science Of Problem Solving With Combinatorics’ bertempat di Auditorium, Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS).

Program anjuran Majlis Profesor UUM (MPU) dan Jabatan Canselori turut dihadiri Presiden MPU, Prof Dr. Rosna Awang Hashim.

Menurut Dr Haslinda, penemuan itu memberi petunjuk baru bagi pembelajaran dan pengajaran dengan memberikan inspirasi daripada reka bentuk semulajadi.

Dr Haslinda berkata, ‘Combinatorics’ menyelesaikan masalah gabungan melibatkan rangka kerja Matematik dan algoritma yang berakar umbi dalam situasi kehidupan sebenar dapat digunakan untuk merancang bahan pembelajaran yang menarik dan kreatif, yang boleh membantu pelajar dalam memahami serta menyelesaikan masalah dengan lebih efektif.

“Perjalanan untuk mencari penyelesaian dalam ‘Combinatorics’ menuntut pemikiran imaginatif, keaslian, keupayaan untuk meneroka pendekatan yang tidak konvensional dan kecekapan dalam logik abstrak,” katanya.

Proses menyelesaikan masalah gabungan melibatkan satu siri peringkat penting yang sistematik memupuk pemikiran kritis, inovasi dan kreativiti. Setelah 25 tahun berpengalaman dalam ‘Combinatorics’ beliau memperkenalkan kaedah Explore, Discover and Develop (ExDiD).

Menurutnya, ExDiD merupakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) yang berpusatkan pelajar dengan ledakan globalisasi masa kini merangkumi aspek pengetahuan, kerja berpasukan, komunikasi dan penyelesaian masalah. Tiga kaedah utama dalam ExDiD iaitu penjelajahan, penemuan dan pembentukan.

“Misalnya sebelum ini PnP Matematik di kelas menggunakan sepenuhnya kaedah kuliah dan tutorial walaubagaimanapun pendekatan ExDiD telah memberi impak yang besar kepada pelajar. Mereka mempunyai keyakinan yang lebih tinggi dalam penyelesaian masalah sehingga sentiasa ternanti-nanti kelas Matematik.

“Matematik sangat indah, seronok dan penuh keterujaan, saya kagum melihat pelajar berkomunikasi dengan baik, mempunyai keyakinan, semangat membara, selain tampil dengan idea baru,” ujarnya.

Sebagai penutup beliau merumuskan bahawa, penyelesaian masalah berdasarkan kombinatorik dalam melahirkan ‘Beautiful minds…winding up your imagination with a set of innovative and artistic rules’.

Beliau berucap pada Syarahan Pengukuhan Profesor 2023 Profesor Dr. Haslinda Ibrahim ‘Nature-Inspired Designs: Unraveling The Science Of Problem Solving With Combinatorics’ bertempat di Auditorium, Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Che Su Mustaffa dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) menyampaikan ucapan dan video pengenalan profesor.

Program syarahan ini adalah suatu program khusus yang dianjur bagi menonjolkan ketokohan ahli akademik yang dilantik sebagai profesor di UUM di samping menjadi platform untuk menyebarluas ilmu pengetahuan, kepakaran dan penemuan inovatif oleh profesor UUM kepada masyarakat umum sebagai bukti ketokohan akademik.