UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Penyerahan bangunan baharu, lebih kondusif

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Bangunan Pusat Kegiatan Ko-Kurikulum yang baharu memberi manfaat besar kepada pelajar dan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) di samping merealisasikan objektif Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan holistik.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif bagi memastikan perkhidmatan dan fasiliti sektor pendidikan berada di tahap yang baik justeru, penyediaan prasarana dalam bentuk fizikal menjadi salah satu keutamaan.

“UUM menerima peruntukan sebanyak RM9 juta bagi Projek Pembinaan Bangunan Pusat Kegiatan Ko-kurikulum ini dan amat berbesar hati menerima bangunan ini.

“UUM amat menghormati kepakaran teknikal yang ada pada Pasukan JKR, bermula daripada pasukan reka bentuk, pasukan penyelia di tapak dan pasukan projek keseluruhannya,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Pusat Kegiatan Ko-Kurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di lobi, di sini, semalam.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Ibu Pejabat dan JKR Daerah Kubang Pasu sebagai agensi pelaksana projek ini dan pihak kontraktor Innokoperat Sdn. Bhd., semua Nominated Sub-Contractor (NSC) dan Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) UUM dalam menjayakan projek ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar dengan siapnya bangunan ini, pelajar, tenaga pengajar, pentadbiran Pusat Kokurikulum (Pusat Ko-K) dan warga UUM keseluruhannya mendapat kemudahan tempat kerja dan belajar yang kondusif serta memenuhi keperluan tugasan mereka,” katanya.   

Pusat Kokurikulum sebagai pusat kegiatan pelajar yang menawarkan program pembangunan pelajar yang bersifat holistik, mengasah dan kemahiran diri. Program kokurikulum mendukung hasrat universiti untuk mewujudkan pendidikan seimbang dan menyeluruh supaya pelajar lebih matang dengan melatih aspek kepimpinan, bakat dengan menitikberatkan disiplin, organisasi dan memupuk semangat kerjasama dan perpaduan kaum.

Sementara itu, Jurutera Daerah, JKR Daerah Kubang Pasu, Ir Ahmad Shahril Azli Idris berkata, JKR selaku agensi pelaksana berusaha sebaiknya untuk memastikan Kontraktor yang dilantik menyiapkan projek ini.

“Walaupun projek ini menghadapi pelbagai halangan sepanjang tempoh pelaksanaan tetapi dengan kerjasama yang baik dari semua pihak maka projek ini akhirnya dapat disiapkan,” katanya.

Jelasnya, projek ini dilaksanakan secara kontrak konvensional Dalaman dan segala rekabentuk senibina, struktur, mekanikal serta elektrikal disediakan oleh JKR. 

“Projek ini menelan kos kira-kira RM8.6 juta dengan tempoh pembinaan bermula daripada 1 Ogos 2019 sehingga 10 Februari 2021 namun disebabkan negara mengalami wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan tempoh projek terpaksa dilanjutkan sehingga tarikh siap semasa pada 14 Mac 2023. 

“Tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor Utama serta Kontraktor NSC yang memberikan komitmen yang tinggi dan meneruskan projek sehingga siap. Walaupun kita tahu berlaku kenaikan kos bahan berlaku semasa pembinaan ini dan diharap dengan adanya pelarasan ‘Variation Of Price’ yang ditetapkan oleh kerajaan dapat mengurangkan beban kerugian disebabkan kenaikan bahan binaan,” katanya.

Bangunan ini dilengkapi bilik Studio Tarian, Studio Muzik dan Bilik Kuliah ruang tambahan seperti ruang bilik perbincangan, bilik mesyuarat, ruang santai dan   ruang pejabat yang lebih selesa di samping kemudahan lif bagi memudahkan pergerakan pelajar dari golongan orang kurang upaya (OKU).