UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Perancangan komprehensif dan sistematik

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Naib Canselor menyifatkan UUM Corporate Communication (UCC) mempunyai perancangan komprehensif dan bersistematik untuk membawa imej universiti ini dalam dan luar negara, mengurus informasi secara digital dan sentiasa ke hadapan dalam tadbir urus hal ehwal korporat.

Dalam satu sesi taklimat bersama UCC, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, UCC menunjukkan setiap unit mempunyai kekuatan tersendiri dan saling tidak bertindih dalam melaksanakan tugas masing-masing.

“Tahniah kepada UCC. Saya mendapati dari segi perancangan, struktur dan gerak kerja UCC sangat komprehensif. Penyusunan bidang tugas yang juga begitu sistematik dan ada pengkhususan. Saya sangat positif dengan perancangan masa depan yang sedang disusun oleh pengurusan UCC sekarang.

“Saya lihat UCC bekerja dalam satu pasukan yang saling bekerjasama dan lebih kepada semangat berpasukan terutamanya dalam mengendalikan majlis rasmi universiti,” ujarnya di Bilik Mesyuarat Naib Canselor semasa taklimat, semalam.  

Beliau berkata, kerjasama berpasukan ini harus diteruskan kerana UCC adalah barisan hadapan universiti yang sangat diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua peringkat golongan daripada Naib Canselor dan pengurusan universiti hingga ke peringkat pelajar dan orang ramai.

Katanya, UCC yang mendukung moto ‘Front and Shine’ merupakan nadi utama yang  penting sebagai barisan hadapan khususnya dalam membina imej dan reputasi sekali gus meningkatkan keterlihatan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sambil menyambut baik perkembangan dan perancangan yang dibentangkan, Mohd Fo’ad turut menzahirkan keyakinan kepada pengurusan UCC  yang kini serius melakukan perubahan dalam mendepani era pendigitalan di samping mengekalkan kerangka pelan promosi universiti yang diatur rancang.

Beliau turut berpuashati dengan penyusunan struktur organisasi UCC yang kini mempunyai unit-unit yang menjalankan skop kerja secara pengkhususan seperti Unit Pentadbiran dan Welcome Centre, Unit Pemasaran, Unit Bilik Berita Digital, Unit Penerbitan Korporat, Unit Foto Media, Unit Pengurusan Acara, Unit Web dan Media Sosial serta Unit Imej dan Grafik Korporat.

Beliau meletakkan harapan agar UCC beroperasi seperti biasa dan melaksanakan segala perancangan strategik selain mempromosi universiti dengan lebih giat termasuk produk UUM serta aspek lain.

Di akhir sesi taklimat beliau turut menyentuh kebajikan staf UCC terutama peruntukan waktu bekerja secara anjal untuk memastikan jentera UCC dapat melaksanakan tugas tanpa sebarang masalah rekod kehadiran dan sebagainya.

Sesi taklimat yang berlangsung selama satu jam itu diketuai oleh Timbalan Pengarah (Media dan Pemasaran) yang menjalankan fungsi Pengarah UUM Corporate Communications (UCC), Dr. Azahar Kasim bersama Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Pengurusan Acara), Hajah Rasidah Rozi serta Ketua-Ketua Unit di bawah UCC.

Azahar turut membentangkan perkembangan dan perubahan yang ingin dibawa untuk UCC dan seluruh kampus dengan mengkhususkan kepada pendigitalan khususnya dengan pelancaran portal berita digital UUM TODAY pada 2022.