UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Perginya permata Kedah yang tiada ganti

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Gambar: Facebook PakSuHjHamid

JERLUN: Dunia sudah sampai ke penghujung dan sudah ditakdirkan kita adalah umat akhir zaman. Hari ini pelbagai kerosakan yang timbul, fitnah berleluasa, yang salah dikata benar, yang benar dikata salah dan semakin ramai alim ulama meninggal dunia.

Terkini, Malaysia berduka di atas pemergian Allahyarham Tuan Guru Syeikh Abdul Hamid Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Su Mid, 96, jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najjah, Ayer Hitam maka hilang satu lagi pasak bumi.   

Mungkin ramai tidak kenal siapa beliau tetapi namanya tular pada hari kematiannya.  Namanya disebut-sebut dan terus menjadi bualan, satu persatu kisahnya menjadi carian malah pusaranya dikunjungi sehingga hari ini. Ribuan manusia termasuk ulama, tokoh negara dan kenamaan datang dari seluruh pelusuk dan rantau untuk memberi penghormatan terakhir sehinggakan jalan raya penuh sesak dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke masjid bagi memberi penghormatan terakhir padanya. 

Di dunia lagi Allah sudah tunjukkan kemuliaan dan martabat orang yang memperjuangkan agama-Nya dengan hati yang ikhlas seterusnya sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memartabatkan Islam.

Siapa Pak Su Mid? Beliau tinggal di Kuala Pai, sebuah desa nan permai berlatarkan kehijauan ditemani kicauan burung yang mendamaikan. Sesampainya di laman rumah tokoh ulama ini terasa ketenangan menyelinap di ruang hati. Beliau seolah-olah menunggu ketibaan para tetamunya sama ada dari jauh dan dekat. Baju putih bersama kain pelikat dan kopiah menghiasi wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman manis, auranya cukup terasa.

“Bawa al-Quran tak?”

Itu soalan yang sering ditanya. Usahlah memberi pelbagai alasan jika tidak membawanya pasti dapat dipatahkan oleh Pak Su Mid yang kaya dengan kata hikmah tiada tolok bandingannya.

Jika datang dengan niat baik, maka baik jugalah layanannya tetapi jika ada udang di sebalik batu, terimalah ‘habuannya’. Lain orang lain ragamnya ada yang datang mahu bertemu orang soleh, meminta doa, berbincang pelbagai perkara dan ada juga sekadar mendengar dan mengutip ilmu sambil menatap wajah orang alim.

Namun sayangnya, atas faktor kesihatan diikuti serangan Covid-19 yang melanda di seluruh dunia membataskan pertemuan dengannya. Sudah lama tidak mendengar nasihat orang alim ini, rindu mendengar bait-baik katanya yang tersusun rapi adakalanya nasihat yang diberikan terkena batang hidung sendiri. Namun apakan daya hanya mampu berdoa agar diberi rezeki untuk bertemunya semula.  

Akhirnya pada 11 November lalu menerima khabar duka, Allahyarham Abdul Hamid Ismail, 96, menghembuskan nafas terakhirnya mengadap ilahi pada Jumaat yang mulia akibat sakit tua. Beliau meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, tiga anak dan 10 cucu.

Menelusuri latar belakang, Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 di Air Hitam, Jerlun, Kedah. Keturunannya berasal dari Banjar, Indonesia kemudian tinggal di Bukit Tembaga pada tahun 1965 dan berkahwin pada tahun 1973. Beliau berniaga di Pekan Rabu, Alor Setar pada siang hari dan di sebelah malamnya beliau akan menadah ilmu bersama guru-guru beliau.  

Beliau telah menuntut ilmu dari beberapa ulama hebat. Kitab yang menjadi rujukan Pak Su Mid adalah Hilyatul Auliyak, Futuhat Makkiyah Ibn Arabi dan Khozinatul Asror. Beliau memiliki ketinggian ilmu dan amalan yang terpuji selain terkenal dengan kata-kata hikmahnya dan penuh kiasan dalam memberi nasihat.

Keistimewaannya, beliau sentiasa membaca al-Quran dan berpuasa setiap hari sejak 30 tahun lalu. Paksu selalu berpesan sesiapa sahaja yang menziarahinya supaya tidak meninggalkan al-Quran dan jadikan kalam Allah SWT yang paling agung sebagai pegangan hidup.

Mereka yang berkunjung ke rumahnya membawa al-Quran dan buku bagi menadah ilmu. Beliau sedia berkongsi amalan ayat suci al-Quran dan mereka mencatatnya. memandangkan Al-Quran sudah sebati dengan dirinya sekalipun ditimpa sakit, lidahnya sentiasa dibasahi al-Quran.

Allahyarham tidak pernah meninggalkan puasa sunat sejak 30 tahun lalu dan sering berwuduk, ini perkara yang jarang-jarang dilakukan orang. Nasihat yang dititipkannya seiring dengan amalannya sendiri.

Allahyarham sering menerima kunjungan orang ramai ketika hayatnya, termasuk pemimpin negara yang datang menziarahi beliau untuk mendapatkan nasihat dan panduan termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pak Su Mid telah kembali ke Rahmatullah, pemergian seorang ulama yang sentiasa menjadi rujukan ramai dari dalam dan luar negara. Semoga rohnya dihimpunkan bersama para anbiya dan orang soleh.