UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Perkasa hala tuju UUM – Prof. Emeritus Mohd Salleh Din

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu memperkasakan hala tuju dengan memfokuskan kepada ‘Universiti Pengurusan Terkemuka’.

Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Salleh Din, UUM harus mempamerkan keunggulan ‘kita menguruskan UUM’ dan keunggulan dalam bidang pengurusan.

Beliau yang merupakan antara individu terawal ketika penubuhan UUM telah berkongsi pengalaman dan harapan beliau dalam Syarahan Profesor Emeritus bertajuk ‘Memperkasa Hala Tuju UUM Di Abad Ke-21’ di Bilik Kedah, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), hari ini.

“Di samping itu, perkukuhkan lagi kejayaan kerjaya graduan yang meninggalkan universiti ini untuk menjadi seorang pemimpin atau pengurus terkemuka dalam industri dan organisasi.

“Perkasakan juga dari aspek kepimpinan dan pengurusan, inovasi dan keusahawanan serta pengurusan berkualiti kerana UUM kini berada di hadapan dalam amalan perniagaan/organisasi terbaik, selain jaringan yang baik dengan alumni, perkukuhkan endowmen dan dana penyelidikan untuk bidang kajian yang boleh memberi sumbangan penting kepada global,” katanya yang berkhidmat di UUM bermula di kampus sementara di Kampus Darulaman, Jitra pada Jun 1985 hingga Januari 2011.

Dalam syarahan ini, beliau turut menelusuri sejarah pengasasan UUM bermula dari mesyuarat pertama pada September 1983 di Kuala Lumpur yang dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Syed Nahar Shahabudin selepas pengumuman penubuhan universiti awam keenam negara ini oleh Perdana Menteri Ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Ogos 1983.

Menurut beliau, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh telah dilantik menjadi Naib Canselor pertama UUM ketika universiti ini ditubuhkan pada 16 Februari 1984, di mana beliau juga menjadi ‘arkitek’ kepada landskap UUM di Sintok yang menjadikan University of Stirling, Scotland sebagai inspirasi beliau.

“Beliau juga mencetuskan Seni Tamanan Universiti yang dicipta dengan penuh falsafah. Beliau menjadikan UUM Kampus Darulaman sebagai taman ilmu yang cantik alam datarnya dihias indah dengan pelbagai jenis tumbuhan dan bunga dengan harapan mendorong pelajar dan staf untuk bekerja kuat mencapai kecemerlangan yang merupakan matlamat utama UUM.

“Selain itu, semasa penubuhan UUM juga, antara diperdebatkan adalah untuk meletakkan ‘tagline’ UUM di mana terdapat tiga pilihan iaitu ‘The Eminent Management University’, ‘Leading Public University of Management’ atau ‘University That Excels In Areas of Management’,” ujar beliau.

Penubuhan UUM pada tahun itu juga dimulakan dengan empat pusat pengajian sahaja iaitu Pusat Asasi, Pusat Pengajian Bahasa dan Pemikiran Saintifik, Pusat Pengajian Perniagaan dan Perakaunan serta Pusat Pengajian Ekonomi dan Pentadbiran Awam.

Antara lain yang dikongsikan beliau ialah kepimpinan Naib Canselor terdahulu sehingga kini, falsafah dan maksud di sebalik logo UUM, kerjasama UUM dengan pihak luar melalui memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman, pembiayaan dan penjanaan pendapatan universiti melalui pelbagai inisiatif serta kedudukan UUM dalam penarafan antarabangsa seperti QS World University Rankings.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapannya berharap syarahan yang disampaikan Dr. Mohd Salleh dapat meningkatkan semangat dan memupuk nilai terhadap ilmu, budi dan bakti yang diterapkan oleh UUM.

Dr. Mohd Foad turut mengundang sebak dalam kalangan peserta yang hadir apabila mengenang perjuangan dan jasa individu terawal semasa penubuhan UUM dahulu.

Hadir sama, Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad dan pegawai-pegawai kanan universiti serta SBM.