UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Persiapkan diri hadapi transformasi digital

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Dalam era teknologi tanpa sempadan, petugas media perlu mempersiapkan diri dengan melakukan transformasi ke arah komunikasi digital agar kekal relevan dan berdaya saing. 

Perkara ini diakui tiga graduan Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia iaitu Ketua Penerbit Berita Video Digital Sinar Harian, Noor Liza Abu Hasan; Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Badruldin Zakaria dan Pegawai Perhubungan Media Rasuah Busters, Sinar Harian, Asmaliza Mansor ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM, kelmarin.

Noor Liza berkata, perkembangan komunikasi digital yang sangat pesat dan canggih menyebabkan seluruh kehidupan manusia berkait dengan perhubungan melalui jaringan internet misalnya urus niaga wang, pengangkutan awam dan perniagaan.     

“Saya melihat kepada industri media akan datang semakin mencabar, jadi petugas media yang ada sekarang perlu melakukan perubahan dengan mengaplikasikan teknologi digital dalam menjalankan tugas memandangkan kita perlu bersaing mengikut peredaran masa.

“Oleh itu, suka atau tidak kita perlu mempersiapkan diri supaya kekal relevan dengan perubahan yang amat pantas ketika ini,” ujarnya.

Noor Liza berkata, rakan-rakan media yang berminat menceburi bidang akademik amat dialu-alukan kerana generasi akan datang memerlukan orang industri yang mempunyai pengalaman dan sentiasa melihat perubahan yang berlaku. 

“Tidak rugi jika kita mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengurusan untuk kelangsungan perjalanan kerjaya dan membuka peluang pada masa depan kerana adakalanya industri tenat dengan kewujudan media sosial yang meningkatkan  persaingan,” katanya.

Bagi Badruldin pula, penglibatan industri media dalam sesebuah universiti dapat memastikan hubungan yang berkesan dan memberi impak positif antara universiti dan industri.

Jelasnya, dengan menyambung pelajaran di universiti ini juga dapat merancakkan integrasi antara industri media dengan pelajar supaya lebih bermakna dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

“Memang seronok dapat berkongsi pengalaman dunia media dengan pelajar kerana mungkin pelajar tidak tahu keadaan sebenar di industri di samping kami mendapat ilmu daripada universiti untuk diaplikasikan di industri.

“Bagusnya belajar di UUM apabila pensyarah sentiasa faham situasi kita dan terbuka menerima pandangan pihak industri. Teori dan praktikal berjalan serentak sepanjang pengajian,” ujarnya.

Perkara sama turut diakui oleh Asmaliza yang mengajak semua pengamal media untuk menyambung pelajaran agar dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran masing-masing demi perkembangan kerjaya.

Katanya, dunia media pada hari ini menuntut seseorang itu bukan sahaja mempunyai kemahiran sebagai seorang wartawan tetapi juga sebagai jurufoto dan juga juruvideo.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, UUM kini telah menjadi sebahagian cerita perkembangan industri kewartawanan negara apabila seramai tujuh pengamal media telah bergraduasi secara khusus dalam Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia.

“Saya berharap dengan segala ilmu yang diperoleh di sini akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme wartawan kita untuk mengangkat cerita-cerita besar negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ketiga graduan tersebut merupakan antara tujuh pengamal media yang menerima ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia yang disampaikan Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman pada sesi kedua di Dewan Mu’adzam Shah.