UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Persidangan Pengurusan Sekuriti Sosial Seiring dengan keperluan masyarakat – Naib Canselor UUM

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

PUTRAJAYA – Persidangan pengurusan sekuriti sosial yang dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Pengurusan Sekuriti Sosial, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini seiring dengan keperluan semasa masyarakat dan industri.

Naib Canselor Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, persidangan yang pertama kali diadakan ini menyentuh pelbagai isu, strategi dan cabaran sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memantapkan lagi pengurusan keselamatan sosial negara bagi kesejahteraan semua selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Saya yakin melalui persidangan yang disertai oleh ahli akademik, pemain industri dari sektor awam dan swasta yang hadir ini pastinya dapat berbincang mengenai  perubahan persekitaran semasa sosio-ekonomi, teknologi yang canggih dan politik global yang semakin mencabar kini ,” ujar beliau ketika merasmikan persidangan ini di Hotel Dorsett Putrajaya pada 19 Oktober 2023.

Justeru katanya dalam perkembangan persekitaran yang dinamik, pastinya perubahan akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti sosio-ekonomi, tahap kesejahteraan kesihatan, persekitaran pekerjaan dan politik global yang akan memberi cabaran yang besar kepada pengurusan keselamatan sosial organisasi.

Oleh itu perubahan tersebut perlu diambilkira dalam memastikan pengurusan keselamatan sosial di Malaysia adalah relevan dan sesuai sejajar dengan dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan pantas. 

Sementara itu Pengarah persidangan, Prof. Madya Dr Mohd Faizal Mohd Isa berkata, penyertaan 120 orang peserta dari pelbagai peringkat dan agensi ini masing-masing menghantar dua pengucaputama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Dato’ Sri Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed dan Pengarah Social Well-being Research Centre (SWRC), Universiti Malaya Profesor Emeritus Datuk Dr. Norma binti Mansor.

Persidangan ini turut disertai oleh wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Research Institute (KRI).

Beliau menambah sembilan kertas kerja juga turut dibentangkan dalam persidangan ini mengenai kelayakan kewangan dan bukan kewangan dalam keterjaminan keselamatan sosial di Malaysia.

Bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengurusan Sekuriti Sosial  Profesor Madya Dr Fadzli Shah Abd Aziz pula persidangan ini adalah hasil daripada keakraban hubungan kerjasama pintar antara PERKESO dan UUM.

“Pihak PERKESO telah memperuntukan sejumlah RM45,000 dalam menaja persidangan yang menjadi medan untuk memperhalusi sebahagian besar isu dan cabaran dalam tadbir urus dan pengoperasian pengurusan sekuriti social,”katanya lagi.

Turut hadir dalam persidangan ini ialah Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO; Dr. Azlan Darus serta Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan Profesor Dr Ram Al Jaffri bin Saad serta dekan-dekan pusat pengajian Kolej Perniagaan UUM.