SINTOK: Bahasa Melayu menjadi pemangkin utama kepada perpaduan masyarakat di Malaysia dalam merapatkan hubungan kaum dan etnik yang baik, sekali gus membantu usaha kerajaan mencapai keharmonian dan kesejahteraan.
Sehubungan itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Budaya dan Seni (PBS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Kebudayaan, Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) menganjurkan Pertandingan Ekspresi Puisi Antara Jabatan UUM 2022 yang bertemakan kepada semangat patriotisme dan kenegaraan.
Pertandingan yang berlangsung bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, baru-baru ini telah dimenangi oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP).

Kepetahannya mendeklamasikan puisi ‘Suatu Malam di Dataran Merdeka’ karya Rahimah A. Hamid telah menarik perhatian juri dan penonton yang hadir di Dewan Budi Siswa, PBS.
Dengan gaya bersahaja tetapi penuh penghayatan, Syahidatul menyampaikan bait demi bait puisi sehingga juri sebulat suara memilihnya sebagai johan Pertandingan Ekspresi Puisi Antara Jabatan UUM 2022.
Manakala tempat kedua disandang oleh Sr. Dr. Farahiyah Fadzil dari Pusat Pengajian Kerajaan dan tempat ketiga oleh Saiful Amir Kidam dari Pusat Kokurikulum. Kesemua pemenang masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai, plak dan sijil.

Menurut Pengurus PBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kebudayaan MKSK, Asmawiza Hussin, program ini merupakan salah satu program serampang dua mata dimana dalam usaha mengangkat nilai puisi dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan meningkatkan semangat patriotisme di peringkat universiti.
“Saya berharap dengan adanya program sebegini dapat mengangkat martabat Bahasa Melayu dan akan membantu generasi akan datang agar sentiasa menghargai bahasa kebangsaan kita.
“Dengan jati diri yang tinggi, kita mampu mengangkat Bahasa Melayu terbang lebih tinggi, sejajar dengan pertambahan populasi penutur utamanya di alam Melayu. Jika kita bertekad untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju, maka seharusnya bahasa Melayu, diberikan nilai ekonomi dan nilai komersil seiring dengan kemajuan negara,” ujarnya.
Bahasa Melayu hendaklah digunakan dengan meluas dalam semua bidang, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta selaras dengan amalan di negara-negara maju yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Inspirasi penganjuran program tersebut adalah kesinambungan daripada usaha-usaha dilaksanakan dalam merealisasikan visi dan misi memantapkan usaha-usaha memulihara, mengekal, mengembang dan menyemarakkan seni budaya warisan bangsa.
Program ini juga menggembleng elemen seni budaya dalam meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan bangsa, sekali gus menggalakkan penglibatan penggiat seni budaya dalam kalangan kakitangan UUM.