Gambar Dr. Nor Suzylah Sohaimi/UUM Today
MAKATI: UUM-Research Institute for Indonesia, Thailand & Singapore (UUM-ITS) telah menyertai perbincangan dengan Southeast Asian Studies Regional Exchange Program (SEASREP) di Filipina, baru-baru ini.
Pengarah UUM-ITS, Dr. Nor Suzylah Sohaimi berkata, SEASREP adalah sebuah organisasi yang fokus kepada penyelidikan di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, program tersebut ditaja oleh SEASREP atas komitmen mereka untuk mengenal pasti program-program akademik, cabaran dan peluang kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Asia Tenggara yang lain pada masa akan datang.

“Hasil dari pertemuan ini, terdapat dua perkara utama yang dicadangkan iaitu pertama, program pembinaan kapasiti seperti latihan atau bengkel penyelidikan dan penulisan penerbitan akademik yang perlu diteruskan dan kedua adalah kerjasama dalam penyelidikan di rantau Asia Tenggara.
“Pertemuan ini juga telah menghubungkan UUM-ITS dengan beberapa Pusat Penyelidikan Asia Tenggara dari universiti di Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Thailand, Brunei dan Singapura,” katanya.
Dr. Nor Suzylah melihat pertemuan ini sebagai peluang untuk meluaskan jaringan kerjasama dalam penyelidikan di rantau Asia Tenggara yang menjadi teras kepada UUM-ITS, di samping meningkatkan kualiti dan kuantiti penyelidikan UUM amnya.