UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

PESKON UUM tingkat kemahiran pengurusan pelajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Pesta Konvokesyen (PESKON) menjadi platform pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk meningkatkan kemahiran pengurusan khususnya agar dapat diimplementasikan di dunia kerjaya kelak.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, proses pembelajaran tidak terhad terhadap pembelajaran di dalam kelas sahaja, namun pembelajaran yang ditimba semasa melibatkan diri dalam program dan aktiviti persatuan seperti mengendalikan PESKON juga penting.

Menurutnya, menerusi platform sebegini, diharapkan pelajar dapat menjadi agen perubahan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Kata beliau, UUM telah membekalkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang diperlukan untuk berdepan dengan cabaran dunia profesional dan global.

“Sentiasalah menghargai nilai-nilai kehidupan, termasuklah integriti, keadilan, dan kebertanggungjawaban. Ini adalah asas untuk membangunkan sebuah masyarakat yang dinamik dan berdaya maju.

“Saya yakin bahawa anda telah dilatih untuk menjadi individu yang tidak hanya profesional dalam kerjaya, tetapi juga beretika tinggi,” katanya pada Majlis Perasmian PESKON36 di Padang Kawad PALAPES, malam tadi.

Pesta konvokesyen merupakan satu tradisi dalam institusi pengajian bagi meraikan graduan, sekali gus memberi pengalaman kepada pelajar bagi merasai semangat dan suasana meriah sepanjang majlis konvokesyen universiti.

Kira-kira 150 gerai jualan makanan dan barangan termasuk reruai pameran dibuka sepanjang PESKON yang bermula pada 17 November lalu dan akan berakhir pada 25 November ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PESKON Ke-36, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan pegawai-pegawai kanan universiti. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)