UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Petugas Majlis Konvokesyen Ke-35 dan Ke-36 berjaya ekspresi identiti UUM sebagai Universiti Pengurusan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Mengakhiri sambutan dua kali setahun Majlis Konvokesyen pada tahun ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah meraikan petugas sepanjang berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-35 dan Ke-36 UUM di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, hari ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, secara keseluruhan, semua petugas terlibat telah berjaya mengekspresikan identiti UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka dengan sangat baik.

Menurutnya, kerjasama dan semangat berpasukan semua jawatankuasa yang memberi komitmen yang tinggi, berkorban masa dan tenaga menjadikan tenaga kerja UUM ini sebagai pasukan yang padu.

“Dalam aspek pengurusan majlis perlu dititikberatkan merangkumi aspek keselesaan, keselamatan, kesejahteraan, keharmonian dan menyantuni graduan serta tetamu universiti yang datang dari jauh dan dekat.

“Tanpa usaha dan komitmen semua pihak, tidak mungkin majlis yang berprestij yang melibatkan lebih 10,000 graduan tidak termasuk ibu bapa, keluarga, tetamu jemputan dari dalam dan luar negara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tahniah!,” katanya.

Dr. Mohd Foad merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan Majlis Konvokesyen UUM ke-35 dan ke-36 berjalan dengan lancar.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar seluruh warga UUM terus cekal dalam usaha melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang digalas serta melakukan penambahbaikkan yang berterusan supaya imej UUM sentiasa terpelihara.

Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil-wakil jawatankuasa Majlis Konvokesyen Ke-35 dan Ke-36 UUM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan pegawai-pegawai kanan universiti.