UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

PKB-UUM meterai MoA, lahir generasi celik emas

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK, 31 Mac – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi mendidik masyarakat untuk mempelajari tentang kepentingan emas di samping melahirkan generasi celik emas dan celik ar-rahnu.

Pengerusi, Permodalan Kelantan Berhad, Dato’ Ahmad Yakob berkata, matlamat kerjasama ini untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dengan pendedahan tentang keperluan memilih yang halal dengan menggunakan perkhidmatan patuh Syariah.

“Kerjasama ini juga menghasilkan guna tenaga mahir dalam pasaran sebagai persediaan untuk pekerjaan dalam sektor Ar-Rahnu negara, selain mendapatkan pengiktirafan atau akreditasi di peringkat yang lebih tinggi kepada peserta   yang mengikuti kursus Ar-Rahn Operational Management (AOM) dan Gold Appraisal Training (GAT),” ujarnya.

Allah SWT berfirman   berkenaan Pensyari’atan Rahnu yang bermaksud:

“Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang gadaian yang dipegang (oleh pemiutang).”

                                                                                      (Surah Al-Baqarah: 283)

Jelasnya, pada abad ke-19, pajak gadai (konvensional) berfungsi sebagai institusi pinjaman wang segera menggunakan emas atau lain-lain barang berharga sebagai cagaran. Namun, aktiviti ini sering dikaitkan dengan amalan riba.

“Ar-Rahn ditubuhkan atas saranan kerajaan negeri untuk menyediakan satu platform gadaian bebas riba dan mematuhi syarak sebagai alternatif kepada sistem gadaian konvensional.

“Sistem gadaian Ar-Rahn juga adalah satu usaha PKB untuk menyediakan perkhidmatan pembiayaan tunai yang amat mudah dan cepat; dengan kelayakan pembiayaan yang minimum berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai emas untuk digadaikan.

“Ar-Rahn telah banyak membantu golongan peniaga kecil untuk mendapatkan modal perniagaan segera dan juga golongan yang terpinggir daripada arus perbankan perdana,” ucapnya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Permodalan Kelantan Berhad (PKB), di Balai Tamu, pagi tadi.

Jelasnya, bermula dengan konsep Qard dan Ujrah di dalam transaksi gadaian dan penebusan marhun (emas), Ar-Rahn kini telah beralih kepada penggunaan konsep Tawarruq sebagaimana yang telah disarankan oleh Bank Negara Malaysia dan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kini, Ar-Rahn terus berkembang dengan lebih inovatif dengan penggunaan kaedah secara digital/ atas talian melalui pembangunan sistem Ar-Rahn Online System (AROS), portal pembayaran atas talian (arrahnPAY), lelongan secara atas talian (Ar-Rahn Bid) dan aplikasi mudahalih (mobile apps), semuanya secara ‘in-house development’.

PKB merupakan sebuah syarikat kerajaan negeri Kelantan, milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan terus melebarkan sayap dengan 34 cawangan sendiri dan 74 cawangan francais di seluruh Malaysia.

Sebagai institusi pembiayaan mikro kredit patuh syariah, Ar-Rahn yang berusia 32 tahun kini antara salah satu daripada lima pemain pajak gadai terbesar di Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menyifatkan MoA ini amat bererti kepada UUM terutamanya melihat kepada potensi besar dalam industri Ar-Rahnu dan memberi sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan Unit Pensijilan Profesional Ar-Rahnu (APC) di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).

“Kepakaran akademik berkaitan bidang Ar-Rahnu yang ada di IBS merupakan pemegang sijil Rahnu yang telah mengikuti modul serta peperiksaan khas sebelum ditauliah sebagai tenaga pengajar APC. Unit APC telah dilantik sebagai Pusat Pengendali Latihan dan Pensijilan Profesional Ar-Rahnu  yang berdaftar di bawah PKB.

“Selaras dengan pelantikan ini, Unit APC bertanggungjawab mengendalikan 2 sijil profesional Ar-Rahnu iaitu Pengurusan Operasi Ar-Rahnu (AOM) dan Kemahiran Penilaian Emas (GAT),” katanya.

Jelasnya, UUM merupakan institusi pertama di Malaysia yang memperolehi pengiktirafan seumpama ini justeru kepercayaan yang diberi ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara UUM, PKB dan pihak industri emas lainnya.

“Syabas saya ucapkan kepada  Unit APC dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) atas inisiatif mengadakan kerjasama sebegini dan diharapkan lebih banyak lagi peluang kerjasama akan menyusul kelak bersama PKB,” katanya.