UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Platform kongsi idea, bentuk hala tuju

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Bengkel Halatuju UUM Siri 1 menghimpunkan idea dan pandangan persatuan yang terdapat di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha membentuk dasar dan hala tuju yang lebih cemerlang.

Bengkel anjuran Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK) itu melibatkan Persatuan Akademia UUM (PERSATU), Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir & Ikhtisas) (PERPATI), Kesatuan Kakitangan UUM (KESKA) dan Persatuan Setiausaha UUM (SETIA).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan demi kejayaan diraih antaranya penarafan cemerlang UUM dalam THE World University Ranking (401-500) dan QS World University Rankings (538), menduduki tempat kedua di Malaysia dalam THE World University Ranking yang mencerminkan komitmen universiti yang tidak berbelah bahagi untuk menjadi institusi yang lebih cemerlang di semua peringkat.

“Kedudukan ini merupakan cerminan hasrat, harapan dan usaha yang berterusan sepanjang empat dekad untuk mengangkat UUM ke peringkat global dan kejayaan ini  tidak dapat dicapai tanpa komitmen yang dilakukan oleh semua pihak,” ucapnya di EDC-UUM, semalam.

Jelasnya, sepanjang 40 tahun, UUM telah mengalami pelbagai fasa perubahan yang menyokong impian dasar pendidikan negara.

UUM meletakkan batu asas yang jelas sebagai peneraju institusi pengurusan justeru semua bertanggungjawab untuk memperkukuhkan kedudukan UUM.

“Melalui bengkel ini kita dapat memenuhi tiga objektif iaitu membantu UUM dalam libat urus sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam Perancangan Strategik UUM 2034 tentang apa yang kita impikan pada 10 tahun akan datang.

“Bengkel ini juga memberi input secara terus kepada pihak pengurusan tentang hasrat dan hajat ingin dicapai pada tahun 2024 dan saya harap persatuan dapat menentukan hala tuju sempena 40 tahun UUM,” ujarnya. 

Beliau turut merakamkan ribuan terima kasih kepada persatuan yang menjadi tulang belakang atau penggerak kepada kejayaan UUM selain berharap kejayaan ini dapat diteruskan.

Bengkel sehari itu dibarisi oleh Presiden PERSATU, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim, Timbalan Presiden PERPATI, Abdul Rahman Mohd Isa, Presiden KESKA, Dr. Mohd Rizam Md Ladin dan Presiden SETIA, Rosmimah Omar.