UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

PM arah siasat punca kerosakan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar New Straits Times

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat secara menyeluruh punca kerosakan berikutan gangguan perkhidmatan hingga menyebabkan stesen transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya ditutup.

Beliau berkata, perkara itu merunsingkan kerana ia telah berlaku dua kali ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan akan mewujudkan jawatankuasa yang akan melihat secara keseluruhan insiden itu.

“Seperti yang kita kata tadi, kita tidak mahu berlaku lagi. Sebab dalam masa beberapa bulan sahaja perkara ini berlaku lagi. Jadi, saya tidak mahu beberapa bulan akan datang kejadian ini berlaku lagi kerana ianya sangat menyusahkan orang ramai.

“Ketika ini, sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji bagi menilai LRT laluan Kelana Jaya supaya bersedia beroperasi dengan selamat lebih awal daripada jangkaan pada 15 November ini,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini, semua sistem keselamatan adalah stabil mengikut data ujian yang diperolehi dengan menggunakan 38 set tren di laluan Putra Heights ke Gombak.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park dihentikan selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Penggantungan sementara itu selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini hanya beroperasi dari stesen Gombak ke stesen Damai serta dari stesen Lembah Subang ke stesen Putra Heights.