UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

PPKS galak pelajar ceburi bidang keusahawanan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Siapa sangka bermula dengan suka-suka akhirnya mampu menjana pendapatan ribuan ringgit setiap bulan.

Pemilik Flour Crown Patisserie, Wan Aifaa Shafia Wan Mohd Sopi mula berjinak-jinak dalam perniagaan membuat kek ini sejak di zaman sekolah dengan kek pertama dihasilkan ialah kek cawan. 

“Minat dalam bidang ini diteruskan lagi semasa belajar di universiti dengan mengambil tempahan kek daripada rakan-rakan, kenalan dan pensyarah yang menggemari pastri yang dihasilkan.

“Permintaan yang semakin tinggi hari demi hari mendorong saya menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa sebaik sahaja tamat pengajian di UUM dengan membuka kedai kek pada tahun 2019 di Taman Melur Jitra,” kongsinya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam.

Perniagaan yang semakin maju dan berkembang mendorongnya membuka sebuah lagi kedai kek di Taman Mahsuri, Jitra yang dibeli dengan hasil jualan pastri. 

Flour Crown menyediakan pelbagai menu yang menyelerakan dengan lebih 100 pastri dan kek premium seperti croissant, cinnamon roll, strudel, pavlova dan puff berkrim.

Flour Crown turut menghidangkan menu dari Itali dan Perancis seperti pasta, pai, burger dan minuman termasuk kopi premium selain menyediakan tempahan kek untuk hari jadi dan keraian termasuk resepsi perkahwinan.

Aifa Shafia menitipkan pesanan supaya belajar bersungguh-sungguh dengan meningkatkan kemahiran di samping tidak lupa membalas jasa baik ayah dan ibu apabila berjaya kelak.

“Saya mahu pelajar memahami bahawa untuk berjaya dalam bidang perniagaan ataupun menjadi seorang usahawan bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi perlu berusaha bersungguh-sungguh tanpa kenal erti putus asa, tidak mudah mengalah dengan segala cabaran yang pastinya memerlukan pengorbanan dan kekuatan yang bukan sedikit,” ulasnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), UUM, Khairul Anuar Adnan berkata, program perkongsian   ini merupakan program pertama yang dijalankan di bawah pusat yang baru diwujudkan dalam usaha menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan.

“Alhamdulillah program ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya menarik minat seramai 200 pelajar yang terdiri daripada pelbagai bidang program pengajian menyertai program ini,” ujarnya. 

Katanya, program perkongsian keusahawanan ini dijayakan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kedah dan Syarikat Flour Crown Patisserie yang terletak di bandar Jitra, Kedah. Program perkongsian bersama usahawan alumni UUM  yang berjaya ini akan diteruskan lagi pada siri-siri yang lain dan akan menjadi program wajib PPKS.

Turut berlangsung satu sesi taklimat bersama Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) Kedah yang disampaikan oleh Eksekutif Unit Khidmat Pelanggan, Nurul Aini Abd Hamid serta pelajar berpeluang mendaftar perniagaan secara percuma.