UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Prof. Dr. Azizuddin pikul tanggungjawab baharu

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK, 28 Februari – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani hari ini menerima nota serah tugas daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menjalankan fungsi jawatan berkenaan sebelum ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan hadir menyaksikan majlis tersebut di Balai Tamu, Canselori Sultan Sallehuddin.

Dr. Ahmad Martadha (tiga, kiri) menyerahkan nota serah tugas kepada Dr. Mohd Azizuddin (tengah).

Dr. Mohd Foad berkata, jawatan Timbalan Naib Canselor ini merupakan jawatan yang penting dan menjadi tunjang utama di sesebuah universiti di mana ia memfokuskan kepada akademik, pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, masyarakat dunia hari ini cenderung menggunakan pengajaran dan pembelajaran secara maya kesan pengalaman Covid-19 dan hal ini menuntut universiti bergerak pantas.

Katanya, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) berlumba-lumba meningkatkan jumlah kemasukan pelajar, justeru universiti awam perlu bergerak lebih pantas.

Dr. Mohd Foad menyerahkan watikah pelantikan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa kepada Prof. Madya Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi.

“UUM juga perlu berada dalam satu ruang lingkup ke hadapan untuk mencapai apa yang dirancang dengan berpandukan kepada 20 landasan yang digariskan Menteri Pendidikan Tinggi dan sembilan fokus yang menjadi tumpuan universiti.

“Pada 2024 ini, saya berharap kejayaan dengan keupayaan yang mantap dan kita bergerak seiring selaras dengan teknologi masa kini. Saya juga yakin dengan pengalaman TNC (AA) akan menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik bagi memperkukuhkan lagi kedudukan UUM di peringkat nasional dan global,” katanya di Majlis Serah Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) dan Penyampaian Watikah Pelantikan UUM, sebentar tadi.

Dr. Mohd Foad menyerahkan watikah pelantikan kepada Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof sebagai Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM.

Dr. Mohd Foad turut berterima kasih kepada Dr. Ahmad Martadha atas tanggungjawab beliau sepanjang memikul peranan TNC (AA) selama ini.

Pada majlis sama turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada Prof. Madya Dr. Laila Suriya Ahmad Apandi yang memegang jawatan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) dan Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof sebagai Pengarah, Pusat Zakat dan Wakaf UUM.