UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Profesor UUM dilantik Mufti Pahang

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Pahang, 2 April – Profesor Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim dilantik sebagai Mufti Negeri Pahang yang baharu.

Pelantikan Dato’ Dr. Asmadi berkuat kuasa 1 April bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Rahman Osman. 

Mengenali latar belakang anak kelahiran Kelantan yang dibesarkan di Kuantan, Pahang, beliau merupakan Ahli dilantik, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) bermula 30 Jun 2022.

Berpengalaman luas dalam Syariah dan kewangan Islam, beliau menjadi ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sejak 2014 dan pernah menjadi ahli Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia (MPS BNM) selama 2 penggal dari 2013 hingga 2019.

Beliau juga dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Syariah BIMB bermula Februari 2020 dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Sun Life Takaful bermula 1 April 2021. Beliau juga ahli Jemaah Ulama MAIK (Fatwa Kelantan) sejak 2018 selain ahli Jawatankuasa Waqaf Majlis Ugama Islam Negeri Pahang bermula Oktober 2020. Beliau diperkenan oleh Sultan Kedah untuk menjadi ahli Majlis Zakat Kedah bermula September 2021.

Dr Asmadi juga dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sebagai anggota Suruhanjaya Diraja untuk Tabung Haji pada 2022. Beliau juga merupakan ahli Panel Pakar Syariah JAKIM semenjak 2019 dan ahli Panel Pakar Muamalat JAKIM pada 2016 hingga 2018. Pada Julai 2018, beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah, Sintok Agro Sdn Bhd, anak syarikat UUM sehingga 2019. Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Chartered Institute of Islamic Finance Professional (CIIF) yang sebelumnya dikenali sebagai Association of Chartered Islamic Finance Professional (ACIFP) dari tahun 2017 sehingga 2020.

Sebelum itu beliau adalah Penasihat Syariah di Hong Leong Islamic Bank, Penasihat Syariah Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Konsultan Syariah untuk institusi kewangan Islam sejak 2008 hingga 2013 terlibat secara langsung merangka produk baru perbankan Islam dan kertas kewangan seperti sukuk. Beliau juga turut terlibat dalam merangka standard kurikulum Muamalat dan Kewangan Islam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sejak 2011 hingga 2014. Beliau juga memegang Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) pada tahun 2010 dan Perancang Kewangan Islam (IFP) pada tahun 2012.

Dr Asmadi mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah (2005) dan sarjana (1999) dari International Islamic University Malaysia (IIUM) dalam bidang Shariah serta Sarjana muda Shariah pengkhususan Fiqh and Usul fiqh di University of Jordan pada 1997. Beliau menamatkan pengajian Thanawi Empat di Karachi Pakistan pada tahun 1992.

Beliau sering dijemput sebagai pembentang, pengucap utama, pendiskusi dalam persidangan dan seminar peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau menulis beberapa buah buku antaranya ‘Islamic Finance Legal Framework’ pada 2020, Q&A Muamalat pada tahun 2016, buku ‘Islamic Banking: Operation and Instruments’ pada tahun 2015 dan menyumbang banyak artikel untuk penerbitan peringkat antarabangsa.