UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Program Asasi Pengurusan UUM terima lebih 9,000 permohonan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

SINTOK: Program Asasi Pengurusan UUM mencatatkan peningkatan dua kali ganda iaitu hampir 9,000 permohonan UPUOnline bagi Sesi Kemasukan 2023/2024 berbanding tahun lalu.

Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, peningkatan ketara itu berkemungkinan didorong oleh pemansuhan syarat khas temu duga serta usaha giat Pusat Asasi Pengurusan dalam melaksanakan aktiviti promosi program pengajian.

Selain itu, katanya, permintaan tinggi terhadap Program Asasi Pengurusan membuktikan bahawa program pengajian UUM adalah berkualiti dan masih relevan.

Tambahnya lagi, sepanjang Januari sehingga Jun 2023, warga kerja PAP telah menyertai 22 pameran pendidikan melibatkan 17 sekolah menengah dan lima pameran pendidikan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak luar.

“Pameran pendidikan ini secara tidak langsung merupakan inisiatif university social responsibility PAP bagi menyampaikan informasi peluang pengajian tinggi kepada masyarakat serta bakal pelajar khususnya pelajar lepasan SPM, STPM atau setaraf berdasarkan minat dan kecenderungan, peluang dan kerjaya masa hadapan.

“Staf PAP yang ditugaskan sebagai pempamer turut berkongsi maklumat tentang penajaan, biasiswa dan pembiayaan kewangan yang disediakan selain turut berpeluang berinteraksi dengan masyarakat, khususnya alumni UUM dan kaunselor sekolah secara lebih dekat,” ujarnya.

Dr. Muhammad Fuad berkata, Pusat Asasi Pengurusan juga buat julung kali membuka kaunter runding cara dan konsultasi di pejabat PAP selama tiga hari bagi memberi peluang kepada waris dan pelajar PAP bertanya soalan secara bersemuka mengenai Program Asasi Pengurusan serta proses permohonan UPUOnline.

Hebahan keputusan permohonan kemasukan bagi lepasan SPM menerusi UPUOnline dijangka pada minggu pertama Julai 2023 dan Pusat Asasi Pengurusan menetapkan kemasukan pelajar baharu Sesi Akademik 2023/2024 pada minggu keempat Julai 2023.

Pelajar-pelajar ini kelak akan menjadi ‘feeder’ kepada program-program sarjana muda UUM. – Nur Shazwani Shariffudin