UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Projek air balang hilang dahaga jemaah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Islam

SINTOK: Ramai mengetahui hari Jumaat adalah penghulu segala hari ataupun ‘Sayyidul Ayyam’ iaitu hari yang begitu istimewa jika dibandingkan dengan hari-hari yang lain.

Terdapat banyak kelebihan hari Jumaat sebagaimana yang diceritakan dalam Al-Quran dan hadis. Selain hari yang mulia, Jumaat merupakan hari mustajabnya berdoa dan dihapuskan dosa. Bahkan, kita digalakkan untuk melakukan beberapa amalan sunat seperti membaca Surah al-Kahfi, mandi sunat Jumaat dan bersedekah sebagai tanda mengagungkan hari Jumaat serta mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Meskipun tiada dalil khusus, Imam Masjid Sultan Badlishah, Ustaz Mohd Firdaus Ahmat menjelaskan bahawa sebahagian para ulama ada menukilkan tentang keutamaan sedekah pada hari mulia berkenaan.

Umpamanya, Ibn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan bersedekah pada hari Jumaat lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.

Atas asbab inilah Pusat Islam telah berusaha menyediakan minuman air balang pelbagai jenis perisa bagi menghilangkan haus jemaah setelah selesai solat Jumaat di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam As-Syafie di Inapan Siswa Bukit Kachi.

Modal untuk menyediakan air balang ini adalah hasil sedekah staf dan pelajar UUM sendiri dan diuruskan oleh sekretariat masjid yang terdiri daripada kalangan pelajar.

Diharapkan usaha kecil ini akan mendapat sokongan daripada semua warga kampus dan sama-sama dapat meraih pahala dan kebaikan daripada sumbangan dan sedekah yang dihulurkan.

Untuk menyumbang wang tunai atau bahan keperluan projek ini, boleh hubungi Ustaz Mohd Firdaus di talian 04-9282565 atau e-mel mofirdaus@uum.edu.my