UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Projek kambing jana pendapatan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) komited melahirkan usahawan ternak kambing yang berjaya sekali gus meningkatkan hubungan baik antara universiti dengan masyarakat setempat.

Peserta, Mohamad Anwar Rodzi bersyukur terpilih menyertai program ini dan menjadi salah seorang usahawan bimbingan UUM bagi projek kambing untuk rakyat sekali gus dapat meningkatkan pendapatannya sekeluarga.

“Pihak UUM telah datang ke rumah di Kampung Damai, Kodiang untuk melawat kawasan dan melihat kesesuaian tapak kandang.   

“Alhamdulillah, bantuan dan sokongan yang diberikan ini amat membantu kami para penternak kerana peserta dibekalkan dengan 30 ekor kambing serta kandang mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan tugas kami menjaga serta memastikan kambing membesar dengan sihat,” ujarnya.

Mohamad Anwar antara lima usahawan yang terpilih sebagai perintis bagi Projek Kambing Rakyat (PROKar) di bawah Program Perusahaan Sosial Kementerian Kewangan yang diluluskan di bawah belanjawan 2022.

Peserta lain, Muhammad Fazrin Nasruddin, Ahmad Tajudin Abd Halim, Mohd Hussaini Mohamadi dan Muhammad Alif Najmi Yaafar manakala dua usahawan lagi akan mengusahakan projek penanaman rumput Napier.

Sementara itu, Ketua Projek Prof. Madya Dr. Siti Hadijah Che Mat berkata, projek ini telah bermula sejak Oktober 2022 sehingga April 2024 melibatkan pelbagai proses termasuk mencari penternak, sesi temuduga dan saringan.

“Proses pemilihan peserta PROKar telah dijalankan dengan teliti di mana setiap peserta perlu menjalani proses saringan dan temuduga selain dinilai dari aspek minat, pengalaman, komitmen serta dari segi pemilikan aset, fizikal dan mental haruslah baik bagi melaksanakan projek ini dengan berkesan. 

Katanya, program ini tidak berorientasikan keuntungan semata-mata tetapi matlamat utama ialah menggandakan induk dan melatih usahawan tempatan sehingga mampu melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berjaya dalam bidang penternakan kambing ini.

Mengulas lanjut, usahawan yang telah tamat menjalani tempoh projek selama 18 bulan ini, sebahagian anak kambing yang sihat dan ibu kambing akan diberikan kepada usahawan lain untuk menjamin kelangsungan serta melahirkan lebih ramai lagi usahawan baru.

Manakala, Ketua Program, Prof. Dr. Mukaramah Harun berkata, Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM852,000 bagi melaksanakan dua program perusahaan sosial yang berimpak tinggi iaitu PROKar dan projek pertanian penanaman cili secara fertigasi yang sedang dilaksanakan untuk tempoh 18 bulan bermula 2022 sehingga pertengahan 2024.

“PROKar ini dibawah seliaan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. UUM merupakan antara IPTA yang terpilih diberikan geran bagi melaksanakan program penternakan kambing ini.

“Sekiranya projek ini berjaya ianya akan menjadi modul dan rujukan bagi pelaksanaan projek-projek di tempat lain pula nanti,” ucapnya pada majlis menandatangani dokumen perjanjian oleh peserta PROKar di Bilik Mesyuarat Utama SEFB. 

Justeru beliau menyeru peserta supaya memberikan komitmen yang terbaik bagi memastikan projek ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya serta mencapai objektif yang ditetapkan oleh kementerian iaitu meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti luar bandar khususnya komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang terpilih dalam projek ini dan berharap peserta akan melaksanakan projek ini dengan penuh dedikasi, amanah, bersungguh-sungguh dan sentiasa memberi kerjasama yang terbaik bagi memastikan projek ini berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

Beliau berharap dengan bantuan yang diberikan ini dapat membantu meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti luar bandar yang tinggal berhampiran dengan UUM serta meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti luar bandar.