ALOR SETAR: Bagi menjayakan pelaksanaan projek berimpak tinggi, Kedah Aerotropolis di negeri ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan antara 10 rakan strategik terpilih menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Projek Kedah Aerotropolis dengan KXP Airportcity Holding di Wisma Darul Aman baru-baru ini.
Pemeteraian MoU yang ditandatangani Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif KXP Airportcity Holding, Nur Salman Saad @ Bidin itu disaksikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings.
Muhammad Sanusi berkata, Kedah Aerotropolis bakal menjadi katalis pembangunan paling utama Wilayah Utara Semenanjung dan kawasan segi tiga IMT-GT.

bertukar-tukar MoU disaksikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings.
Proses pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis yang merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri di daerah Kuala Muda akan menjadi hab industri kargo dan pusat penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih pesawat (MRO) di rantau Asia seperti yang terdapat di Memphis, Amerika Syarikat.
“Kedah Aerotropolis yang dirangka untuk memacu transformasi ekonomi negeri ini akan dibangunkan di kawasan seluas 9,800 ekar (3,965 hektar) merangkumi pembinaan KXP selain industri sokongan termasuk Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) Hub yang dijangka bakal mewujudkan sebanyak 75,000 ke 80,000 peluang pekerjaan mahir yang berpendapatan tinggi.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan penglibatan institusi pengajian untuk melatih anak muda dalam bidang pengajian atau kursus berkaitan aeroangkasa merangkumi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kerana misi pembangunan Kedah Aerotropolis bukan tertumpu kepada operasi penerbangan semata-mata.
“Dengan menjadikan institusi pengajian sebagai pusat latihan penerbangan dan aeroangkasa membuka peluang kepada kita menyediakan tenaga mahir dalam usaha merealisasikan penubuhan Universiti Teknikal dengan bidang aeroangkasa sebagai teras,” ucapnya.

menandatangani MoU di Wisma Darul Aman.
Sementara itu, Haim Hilman berkata, kerjasama tersebut sudah lama dinantikan dan UUM akan memfokus kepada latihan, penyelidikan dan perundingan serta pembangunan pelajar di dalam bidang logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan.
“Sebagai IPT kita rasa gembira kerana KXP dan kerajaan negeri Kedah melihat kita sebagai rakan strategik untuk membangunkan agenda besar ini. Alhamdulillah, UUM telah menandatangani MOU dengan KXP khususnya dalam berkongsi kepakaran yang dimiliki.
“Kepakaran ini dapat disalurkan bukan hanya dalam konteks kuliah tetapi kepada industri justeru bila bekerjasama erat dengan industri memberi peluang untuk mempelajari perkembangan terkini industri seterusnya pengalaman ini boleh dikongsikan dengan pelajar,” kongsinya.
Beliau berharap kerjasama ini membolehkan UUM menawarkan sumber manusia terbaik kepada organisasi dan syarikat yang beroperasi di bandar Aerotropolis yang akan dibangunkan nanti.
Selain UUM, Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), ST Engineering, L3Harris, Aviation Industry Corporation of China (AVIC), Maz Gerbang Sdn. Bhd., ZRST Training Sdn. Bhd., Wauavieco Sdn. Bhd., Giaan Flying Academy, Jet Fuels Sdn. Bhd. dan Myhandlers services turut memeterai memorandum berkenaan.
KXP AirportCity Holdings ialah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang mengendalikan Kedah Aerotropolis. Pembangunan Kedah Aerotropolis ini akan membuka peluang kepada negeri Kedah untuk menjadi hab perkhidmatan pengangkutan dan logistik, perdagangan barangan dan perkhidmatan, serta industri pembuatan dan penyelenggaraan aeroangkasa.