Gambar Gempak
SABAK BERNAM: Kesibukan dengan penggambaran tidak menghalang pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof ke Dewan Tun Razak sempena hari penamaan calon meskipun baru selesai penggambaran filem terbaharu kira-kira jam 6 pagi, hari ini.
Eizlan yang merupakan calon Parlimen Sabak Bernam mewakili GTA Parti Pejuang akui walaupun perlu melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon, peristiwa hari ini (penamaan calon) tidak boleh dianggap ringan.
“Kebetulan babak semalam adalah terakhir, jadi bolehlah saya fokus pada hari ini yang juga penting kerana membabitkan amanah rakyat demi bangsa dan negara. Rasa berdebar dan masa sama teruja.
“Tetapi saya tidak mahulah terlalu teruja. Saya melihat langkah pertama ini (penamaan calon) adalah satu tanggungjawab buat saya untuk membawa amanah rakyat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Eizlan juga berharap masyarakat di Parlimen Sabak Bernam dapat memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tugas.
Dia tiba di Pusat Penamaan Calon Sabak Bernam tepat jam 8.30 pagi diiringi isteri, Datin Seri Natasha Rosa Boudville, rakan-rakan dan penyokong.
Kertas pencalonan penamaan calon bagi Pejuang di bawah Eizlan diterima pada jam 9.05 pagi.
Eizlan bakal merebut kerusi P.092 yang turut ditandingi calon dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan.