Gambar ASTRO AWANI
SUNGAI BULOH: “Ini adalah pertarungan paling sengit dalam karier politik saya bagi merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang menghadapi pertandingan tujuh penjuru bagi kerusi parlimen tersebut.
Bagaimanapun, wakil rakyat Rembau selama tiga penggal itu berkata, beliau tidak menganggapnya sebagai satu kelemahan tetapi sebagai cabaran untuk membawa perjuangan ke kawasan bandar.
“Saya menang tiga pilihan raya berturut-turut di Rembau, sekarang saya bertanding di kawasan yang kami kalah tiga pilihan raya berturut-turut.
“Tetapi saya menyahut cabaran itu dan berharap penduduk Sungai Buloh akan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat Sungai Buloh dan juga berharap masyarakat Sungai Buloh dapat membantu saya berkhidmat untuk negara,” katanya selepas mengemukakan pencalonannya di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling di sini.
Ditanya mengenai spekulasi pencalonan beliau di Sungai Buloh itu boleh menamatkan karier politiknya sekiranya beliau kalah, Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ berkata: “Saya belum bersedia untuk bersara.”

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan penyandang tiga penggal Sungai Buloh, R. Sivarasa bahawa undi kepada Khairy bermakna undi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Khairy berkata “satu undi kepada KJ di Sungai Buloh adalah undi kepada KJ.”
“Naratif ini mesti dijelaskan sekarang juga bahawa calon Perdana Menteri BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Jadi, saya akan mendukung beliau sebagai calon Perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid sendiri, tiada kekeliruan di situ,” katanya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH) Datuk R. Ramanan dalam usaha PKR untuk mengekalkan kerusi itu bagi kali keempat berturut-turut, selain turut berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Ghazali Md Hamin dari PAS.
Calon lain yang bertanding ialah Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Ahmad Jufliz Faiza serta dua calon Bebas – Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff yang mencuri tumpuan apabila hadir memakai but kuning seperti sinonim dalam siri televisyen popular di Singapura dan Malaysia, Phua Chu Kang.
Pada 2018, Sivarasa dari PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi. Penyandang itu tidak mempertahankan kerusi berkenaan berikutan masalah kesihatan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Jusni Hashim berkata Parlimen Sungai Buloh mempunyai 158,090 pengundi.