UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

PSM platform kongsi amalan terbaik pengurusan sumber manusia universiti awam

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

LANGKAWI: Jawatankuasa Sumber Manusia Universiti Awam (JKSMUA) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Persidangan Nasional Pengurusan Sumber Manusia 2023 (PSM 2023) di Hotel Adya selama tiga hari bermula 14 Oktober lalu.

Pengerusi Program, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi berkata, seramai 103 peserta termasuk 39 pembentang kertas kerja dalam kalangan staf universiti awam telah menyertai persidangan tersebut.

Persidangan yang bertemakan ‘Transformasi Pengurusan Sumber Manusia Era Brittle, Anxious, Non-Linear, Incomprehensible (BANI): Cabaran dan Strategi’ ini merupakan satu platform bagi perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan inovatif berkaitan pengurusan sumber manusia di universiti masing-masing melalui sesi pembentangan kertas kerja mengikut tiga sub-tema: Pemerkasaan Sumber Manusia, Strategi dan Amalan Peningkatan Produktiviti dan Pembudayaan Nilai dan Etika Kerja.

Ucaptama telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar dan Pengerusi LPU, UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.

Kedua-dua pengucaptama telah membincangkan perkembangan bakat dalam kalangan pentadbir dan akademia universiti awam yang berperanan melonjak produktiviti universiti.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak telah membentangkan perkongsian bertajuk Pensejahteraan Sumber Manusia melalui Pembudayaan Nilai dan Etika, manakala Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah berkongsi topik Lonjakan Produktiviti melalui Peningkatan Bakat.

Selain itu, satu sesi forum yang membincangkan topik Mendepani Cabaran Pengurusan Sumber Manusia Era BANI yang menyenaraikan ahli panel dari perspektif yang berbeza termasuk Prof. Emeritus Dato’ Dr. Raduan Che Ros (Pengerusi LPU UiTM),  Dato’ Muhammad Haizuan Rozali (Pendaftar USIM) dan Datin Dr. Zoharah Omar (Pengurus Kanan, Human Capital and Corporate Affairs, Elektrisola).

Di hari terakhir persidangan, satu resolusi telah disampaikan oleh Muhammad Iskandar Zulkarnain kepada Pengerusi JKSMUA, Helmi Zaifura Abdul Rahman hasil daripada bengkel peserta untuk dipanjangkan dan dibincangkan di peringkat pengurusan tertinggi universiti awam.

Hadir sama, Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah. -Kartini Tajul Urus