Sintok: Dalam usaha untuk memupuk persefahaman, keharmonian, dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia pelbagai kaum, satu sesi webinar bertajuk “Fostering Racial Unity and Appreciation to Independence” diadakan secara dalam talian sempena sambutan hari kemerdekaan ke-66.
Panel jemputan yang mewakili pelbagai kaum dan bidang kepakaran, iaitu Prof. Madya Dr. Roslee Ahmad pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. S. Maartandan Suppiah, pensyarah kanan di SMMTC, UUM dan Dr. Joyce Cheah Lynn-Sze, pensyarah kanan di SMMTC, UUM.
Prof. Madya Dr. Roslee berkata, sambutan kemerdekaan kini dikatakan semakin luntur dalam golongan generasi muda apabila mereka dilihat tidak lagi menunjukkan semangat patriotik sempena Bulan Kebangsaan setiap tahun. Ini kerana, kibaran Jalur Gemilang pada motosikal mahupun kenderaan yang dinaiki mereka kini jarang sekali atau sudah tidak lagi kelihatan di atas jalan raya.
“Di televisyen umpamanya, pelbagai kempen, didikan serta mesej perpaduan dibuat tidak kira menerusi ruangan iklan, berita, program-program khas termasuk drama, malah rancangan kartun perlu diselitkan nilai-nilai bersatu-padu antara kaum di negara Malaysia.
“Tidak kurang juga di media sosial dan media massa, mesej perpaduan juga perlu disebarkan supaya dapat menyuntik, merangsang dan meneguhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, Dr. S. Maartandan pula melihat cabaran perpaduan kaum yang wujud di negara ini bermula daripada sikap sesetengah pihak yang menyebabkan timbul perbalahan antara masyarakat.
Katanya, kenyataan yang membabitkan isu 3R (Race, Religion, Royalty) sering kali dibangkitkan sehingga menjadi “hate speech” di media sosial. Seiring dengan munculnya pelbagai platform media sosial, peranannya pun semakin besar dan luas, termasuklah dalam membentuk pendapat publik (public opinion).
Beliau menyeru agar semua pihak termasuklah pihak media untuk memastikan bahawa pemberitaan mereka seimbang dan adil dalam melaporkan isu-isu yang berkaitan dengan agama, perkauman dan budaya.
Ini membantu mencegah ketegangan antara kumpulan etnik dan memastikan bahawa masyarakat memperoleh maklumat yang tepat.
Webinar yang berlangsung selama sejam ini dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).